ANKARA – Mahkamah rayuan persekutuan Amerika Syarikat (AS) menolak rayuan Meta dan TikTok terhadap keputusan mahkamah rendah yang membenarkan ribuan saman berkaitan dakwaan kemudaratan terhadap pengguna muda media sosial diteruskan, lapor Anadolu Ajansi.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di San Francisco pada Isnin memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan berkenaan pada peringkat ini.
Hakim Jacqueline Nguyen berkata Seksyen 230 hanya memberikan pembelaan terhadap liabiliti dan bukan kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Keputusan itu bermakna prosiding terhadap syarikat media sosial berkenaan boleh diteruskan, namun mahkamah belum membuat keputusan sama ada dakwaan plaintif terbukti atau syarikat terbabit akhirnya akan dipertanggungjawabkan.
Saman berkenaan difailkan oleh individu, peguam, sekolah dan kerajaan tempatan.
Plaintif mendakwa platform media sosial direka dengan ciri yang mendorong tingkah laku ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, selain gagal mengesahkan usia pengguna, membolehkan kawalan ibu bapa dipintas dan tidak memberikan perlindungan mencukupi daripada kandungan berbahaya.
Sebanyak 3,137 kes masih belum selesai setakat 3 Ogos, manakala 3,312 kes keseluruhannya telah dimasukkan dalam prosiding itu sejak litigasi bermula.
Antara defendan ialah Meta, Alphabet yang merupakan syarikat induk Google dan YouTube, pemilik TikTok ByteDance serta syarikat induk Snapchat, Snap.
Meta sebelum ini memohon supaya beberapa tuntutan ditolak dengan menggunakan Seksyen 230, yang secara amnya melindungi platform dalam talian daripada dipertanggungjawabkan sebagai penerbit kandungan yang dihasilkan pihak ketiga.
Mahkamah Daerah membenarkan sebahagian permohonan itu tetapi memutuskan tuntutan lain masih boleh diteruskan.
Meta berhujah keputusan berkenaan boleh dirayu serta-merta, namun Mahkamah 9th Circuit menolak hujah itu dan memutuskan syarikat terbabit perlu menunggu sehingga penghakiman muktamad sebelum mencabar keputusan itu.
Mahkamah turut menolak permohonan kecemasan Meta untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung dalam satu kes berasingan di Oakland, California.
Kes itu mendakwa Meta melanggar undang-undang persekutuan dan negeri dengan mereka bentuk ciri di Facebook serta Instagram yang didakwa memudaratkan kanak-kanak dan remaja atau menggalakkan penggunaan secara kompulsif.
Meta menafikan dakwaan berkenaan. – 11 Ogos, 2026
