KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelbagai agenda reformasi telah berjaya direalisasikan di bawah pentadbirannya, manakala sebahagian lagi memerlukan masa dan pendekatan secara berperingkat.
Presiden PKR itu berkata, pencapaian reformasi yang telah dicapai tidak wajar dinafikan mahupun dipadamkan hanya kerana masih terdapat desakan supaya lebih banyak perubahan dilakukan.
“Saya harap rakan-rakan yang menuntut perubahan, silakan…tetapi terima kenyataan bahawa perubahan sudah dilakukan. Kita boleh senaraikan berapa banyak.
“Keberanian reformasi Madani apa dia? 60 tahun sebelumnya, hal-hal yang patut dilakukan, tidak dilakukan. Jadi kalau pun kita menegur, menggesa, mendesak, jangan memadamkan kenyataan yang sudah dilakukan,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Kongres berkenaan turut dihadiri pimpinan utama PKR dan Kerajaan Perpaduan, termasuk Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, serta Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.
Senarai perubahan tempoh tiga tahun
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyenaraikan beberapa kejayaan reformasi penting yang telah diluluskan dalam tempoh kira-kira tiga tahun pentadbirannya.
Ini termasuk pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), penggubalan Akta Kredit Pengguna, serta perundangan khas berkaitan pekerja gig.
Pencapaian ini, tegas beliau, membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan perubahan yang terbiar tanpa tindakan selama puluhan tahun sebelum ini.
Kompromi Kerajaan Perpaduan dan pengajaran pentadbiran
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui pelaksanaan reformasi bukanlah satu proses yang mudah dan tidak semua tindakan yang diambil kerajaan adalah sempurna.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, walaupun beliau kekal konsisten memperjuangkan agenda reformasi, realiti politik pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU12022 memerlukan ruang rundingan bersama parti-parti gabungan lain.
Justeru, PH sebagai tiang utama kerajaan perlu mengambil kira pendirian rakan parti bagi memastikan setiap agenda perubahan dapat dikuatkuasakan secara berkesan.
“Ada yang mengandaikan pada masa itu, kita bisa ubah semua sekali gus. Saya ingin ingatkan, kadang-kadang rakan-rakan pada ketika itu dalam Jemaah Menteripun tidak sehandal bila di luar.
“Kita tahu perubahan itu harus bertapak, berperingkat. Ini bukan sebagai dalih untuk mengelak. Kita juga belajar dan sentiasa saya ingatkan, jangan gopoh seperti mana pesanan yang saya ungkapkan dalam beberapa sidang dan kongres Keadilan,” ujar beliau.
Mengakhiri ucapannya, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh agenda reformasi mengikut keupayaan dan keadaan semasa, bagi memastikan setiap perubahan memberi manfaat nyata kepada rakyat serta mengukuhkan institusi negara. – 15 Ogos, 2026
