◉ HEADLINES

PRN Melaka: Haluan kerjasama PH-BN diputus sebelum 16 Sept: Amirudin

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dijangka memuktamadkan formula kerjasama Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN Melaka sebelum Hari Malaysia, berasaskan dinamik politik negeri serta pengalaman pertembungan lalu

2:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hala tuju kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diputuskan sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan mengenai bentuk kerjasama berkenaan masih di peringkat awal dan keputusan muktamad perlu dipersetujui bersama di peringkat gabungan PH serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya rasa sebelum Hari Malaysia, kita mungkin dah ada bayangan untuk maju ke depan atau melangkah ke depan dalam berhadapan Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media sempena Festival Turath Islami Kebangsaan 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, memberitahu satu sesi perbincangan berhubung perkara itu dijangka berlangsung minggu ini bagi melihat perkembangan rundingan berkenaan.

“Masih lagi di tahap eksplorasi awal yang kita belum boleh putuskan. Tapi saya perlu juga melapor di peringkat PH dan peringkat parti Keadilan (PKR) untuk memuktamadkan kalau ada persepakatan,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN Melaka ke-15 yang diadakan pada November 2021 — sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan — BN dan PH bertembung sesama sendiri dalam pertandingan pelbagai penjuru.

Dalam pilihan raya berkenaan, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri bersendirian, manakala PH meraih lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Bagaimanapun, lanskap politik negeri berubah susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila pentadbiran Melaka diselaraskan selari dengan model Kerajaan Perpaduan Pusat, yang menyaksikan pembentukan Exco gabungan melibatkan BN dan PH di peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan bahawa sejarah pertembungan mahupun kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dalam beberapa PRN terdahulu menjadi panduan penting dalam merangka penyelesaian terbaik bagi Melaka.

“Kita pernah bekerjasama dengan BN sebagai satu gabungan dalam PRN, kita pernah bertembung di Johor, bertembung di Negeri Sembilan, dan bekerjasama dengan rapat di Sabah.

“Semua pengalaman itu kita kumpulkan untuk memberikan manfaat kepada semua,” katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata gabungan itu mempunyai jadual serta garis masa tersendiri dalam membincangkan persiapan menghadapi PRN Melaka. – 27 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Four Malaysia Airlines flights cancelled, two more diverted amid heightened US-Iran tensions

Destinations involved were Doha and Jeddah following flight advisory on airspace risks, governments issue travel warnings to avoid Iran

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

◉ Related