KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji dan menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
“Great, great show! Alhamdulillah, good. Thank you very much (Persembahan yang hebat, amat hebat! Alhamdulillah, bagus. Terima kasih),” kata beliau ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di sini.
Selesai acara yang penuh warna-warni dan semangat patriotik itu, Anwar turut meluangkan masa berjalan kaki lebih 500 meter di sekitar Dataran Putrajaya bagi menyantuni orang ramai.
Suasana bertambah meriah apabila beliau bersalaman, beramah mesra serta melayani permintaan ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir untuk bergambar.
Malah, salah seorang pengunjung yang ditemui turut mengambil kesempataan meluahkan rasa terima kasih atas keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas Program Budi Madani RON95 (Budi95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan yang diumumkan semalam.
“Terima kasih Datuk Seri naikkan Budi95,” kata lelaki berkenaan kepada Perdana Menteri.
Semalam, menerusi Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama kerajaan termasuk pelarasan kuota Budi95 yang bakal memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi. Selain itu, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima Budi Diesel hingga 400 liter sebulan berkuat kuasa 1 September ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada jam 8 pagi disambut oleh Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sambutan bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati” itu dimulakan dengan istiadat ketenteraan, diikuti persembahan pentas dan perarakan yang mengagumkan.
Acara tahun ini mempamerkan penyertaan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara, 112 haiwan dalam perkhidmatan, serta 22 unit kenderaan elektrik (EV), di samping persembahan grafik manusia yang memukau di teres.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri lokasi sambutan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, dengan sebahagiannya mula berkampung di Dataran Putrajaya sejak petang semalam. – 31 Ogos, 2026
