HEADLINES

Azeez Rahim tidak mengaku salah guna kedudukan untuk jawatan, yakinkan pelaburan RM193.5 juta

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun, kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap

11:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat itu, 12 tahun lepas.

Azeez, 59, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham pertuduhan, pertuduhan itu tidak benar sama sekali, mohon dibicarakan,” kata Abdul Azeez.

Terdahulu, Azeez bersama dua bekas pegawai atasan TH direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes tipu berkaitan pemberian hibah TH.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun, kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.

Bagi tujuan tersebut, beliau didakwa mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, untuk mencadangkan namanya sebagai wakil TH di dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Abdul Azeez juga dituduh bertindak meyakinkan Ahli Lembaga TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan hingga RM193.5 juta, merangkumi hingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada dalam Putrajaya Perdana Berhad, dengan beliau mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak dekat sini pada 25 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 9 September, 2026

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

PIDM: Building resilience to safeguard your deposits

PIDM protects up to RM250,000 per depositor per member bank and up to RM500,000 for takaful and insurance benefits. For health-related insurance, PIDM protects 100% of your healthcare benefits.

Related