KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan murid-murid asrama untuk terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, tertakluk kepada tahap keselamatan dan kebajikan pelajar yang terjamin.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut disyorkan bagi mengelakkan ibu bapa berdepan bebanan logistik untuk berulang-alik mengambil dan menghantar anak sepanjang penutupan sekolah yang berulang.
“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin. Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mengulas keresahan ibu bapa berhubung jadual penutupan, Fadhlina memaklumkan beliau telah mengarahkan supaya sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memudahkan ibu bapa membuat rancangan awal.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa trend bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sentiasa dinamik berasaskan masa dan lokasi, sekali gus memerlukan penutupan dibuat mengikut realiti keadaan semasa kawasan terjejas.
“Pengurusan jerebu juga melibatkan tanggungjawab yang lebih luas. Jabatan Alam Sekitar berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran manakala Kementerian Kesihatan memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.
“KPM pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa,” katanya.
Beliau menambah, iktibar daripada krisis COVID-19 membuktikan bahawa gangguan sesi persekolahan memberi implikasi besar kepada tahap pembelajaran anak-anak. Justeru, KPM memberi penekanan khusus untuk menangani isu keciciran, terutamanya memandangkan akses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbeza-beza mengikut latar belakang murid.
“KPM akan terus memantau keadaan melalui JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) serta memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa. Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya. – 12 Oktober, 2026
