KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada keluarga model Belanda, Ivana Smit, berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan kematiannya.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersama Hakim Ong Chee Kwan dan Hakim K. Muniandy menyampaikan keputusan berkenaan hari ini.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman secara umum, Muniandy berkata mahkamah mendapati hakim perbicaraan terkhilaf dalam menilai bukti apabila menganggap dapatan dan nota keterangan daripada prosiding inkues serta semakan jenayah terdahulu sebagai bukti substantif yang konklusif dalam perbicaraan sivil secara de novo.
Beliau berkata inkues di bawah Bab 32 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) merupakan proses inkuisitorial bagi menentukan identiti si mati dan punca kematian.
“Perintah Mahkamah Tinggi Jenayah tahun 2019 yang menggantikan dapatan asal kepada ‘kematian akibat perbuatan individu atau individu-individu yang tidak dikenali’ merupakan satu penentuan penting dari segi perundangan yang menghendaki kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ia bukanlah satu penghakiman antara pihak yang menetapkan wujudnya kesalahan tort yang boleh diambil tindakan undang-undang atau liabiliti sivil terhadap pegawai penyiasat,” katanya.
“Penghakiman dan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 29 Julai 2025, termasuk semua award ganti rugi, faedah dan perintah mandatori, dengan ini diketepikan,” kata Hakim Muniandy ketika menyampaikan keputusan itu.
Muniandy berkata hakim perbicaraan telah secara tidak wajar mengutamakan dan menerima pakai dapatan dokumentari pakar patologi asing, Dr Frank van der Goot, tanpa memanggilnya untuk memberikan keterangan dan disoal balas semasa perbicaraan sivil, sedangkan pada masa sama menolak keterangan semasa daripada pakar patologi kerajaan tempatan.
“Ini telah menafikan hak prosedur asas perayu untuk menguji dakwaan saintifik berhubung mekanisme jatuh, toksikologi dan waktu kematian,” katanya.
Beliau berkata hakim perbicaraan telah melakukan kesilapan undang-undang asas dengan mewujudkan kewajipan berjaga-jaga di bawah common law yang perlu dipenuhi pegawai polis terhadap pengadu individu atau waris terdekat berhubung cara sesuatu siasatan jenayah dikendalikan.
Hakim berkata pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mempunyai kewajipan awam secara umum terhadap masyarakat keseluruhannya untuk memelihara keamanan dan menyiasat jenayah, namun tidak mempunyai kewajipan berjaga-jaga di bawah undang-undang persendirian yang boleh membawa kepada pembayaran ganti rugi kepada mangsa individu atau saudara-mara mereka berhubung kecuaian, kelewatan atau kegagalan yang dianggap berlaku dalam siasatan.
“Rasional dasar awam adalah jelas. Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh tertakluk kepada ancaman litigasi sivil persendirian oleh pihak yang tidak berpuas hati kerana ia akan menjejaskan kebebasan dalam pengagihan sumber dan melumpuhkan siasatan jenayah,” katanya.
Pada 29 Julai 2025, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk (RM300,000) dan ganti rugi teladan (RM300,000) selain kos berjumlah RM100,000 kepada Verstappen.
Pada 20 November 2020, ibu model itu telah menyaman Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia atas dakwaan melanggar kewajipan statutori serta cuai dalam siasatan berhubung punca kematian anak perempuannya.
Menerusi saman yang difailkan itu, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Disember 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah unit kondominium milik pasangan warga Amerika Syarikat, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.
Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana Smit adalah disebabkan oleh misadventure atau nahas.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Verstappen merayu kepada Mahkamah Tinggi dan pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan “kematian yang disebabkan oleh individu atau beberapa individu yang tidak dikenali”, dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis untuk memulakan siasatan. – 14 Oktober, 2026
