KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan penemuan bungkusan misteri di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin di Negeri Sembilan, semalam, kepada polis.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu mengambil pendekatan sentiasa berwaspada terhadap sebarang penemuan barangan dalam keadaan mencurigakan di semua sekolah di seluruh negara.
“Jadi, kita mohon untuk semua pengetua, guru besar dan warga sekolah supaya berada dalam keadaan yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam isu-isu yang melibatkan keselamatan sekolah.
“Sekali lagi, kita ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memastikan keseluruhan aspek keselamatan itu diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertemuan Kelab Perempuan Membaca “Fadhlina Membaca” bersama dengan Menteri Pendidikan di Melaka, hari ini.
Semalam, polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan yang mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua kotak itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
Hasil pemeriksaan, katanya, mendapati kesemua kotak itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
“Hasil siasatan mendapati bentuk bungkusan dan kandungan di dalamnya yang dihantar di lima sekolah di Nilai dan selebihnya di Tampin adalah sama.
“Bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas nama penerima yang tertera pada bungkusan itu tidak hadir untuk mengambilnya,’’ katanya.
Pemeriksaan yang dijalankan, kata beliau, tidak menemukan sebarang bahan letupan atau bahan berbahaya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan itu serta menentukan motif sebenar kejadian. – 17 Oktober, 2026
