◉ HEADLINES

KKM akan jalankan pemeriksaan di kilang Gardenia susulan dakwaan keracunan makanan

Kementerian itu turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.

2:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.

Dalam kenyataannya, KKM berkata, ia berikutan dakwaan yang tular di media sosial mengenai keracunan makanan melibatkan produk syarikat berkenaan.

Menurut KKM, pihaknya sedang menunggu keputusan analisis makmal berhubung produk terbabit.

Siasatan awal, katanya, sedang dijalankan susulan aduan yang tular di media sosial serta laporan media mengenai kesan buruk selepas pengambilan produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.

Selain itu, KKM berkata, pihaknya telah mendapatkan mendapatkan penjelasan Gardenia Bakeries (KL) dan siasatan dalaman syarikat tersebut tidak menemukan sebarang penyimpangan proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terlibat.

“KKM telah mendapatkan penjelasan Gardenia Bakeries (KL). Menurut syarikat, siasatan dalamannya tidak menemukan sebarang penyimpangan proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terlibat.

“Proses pengesanan produk terlibat masih terbatas kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap. Bagaimanapun, baki produk serta bungkusannya telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk analisis makmal,” menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, seorang pengguna akaun Threads mendakwa mengalami keracunan makanan selepas mengambil dua produk syarikat itu.

Mengulas lanjut, KKM memberitahu, dapatan syarikat itu adalah hasil siasatan dalaman dan belum boleh dijadikan asas kepada kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dilaporkan.

Kementerian itu turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Sementara itu, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memandang serius setiap laporan yang diterima berhubung produk keluaran syarikat berkenaan dan mengambil maklum mengenai kebimbangan yang dibangkitkan di media sosial berhubung produk mereka.

Dalam kenyataannya, Gardenia KL turut prihatin terhadap kesejahteraan pengguna serta keluarga yang terbabit dan wakil syarikat itu telah bertemu dengan pengguna berkenaan untuk memahami dengan lebih jelas kejadian yang dilaporkan serta mendapatkan maklumat lanjut.

“Produk berkaitan juga sudah diambil untuk pemeriksaan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan,” katanya. – 8 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

◉ Related