KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan kecacatan yang dikesan dalam dokumen Order of Discharge Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam pelaksanaan perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, tidak sepatutnya berlaku jika pihak berkenaan mengambil langkah meneliti setiap butiran dengan teliti.
Dusuki berkata, kecacatan yang dikesan pada dokumen berkenaan adalah sesuatu yang ketara dan tidak sepatutnya berlaku dalam sistem perundangan negara.
“Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti. Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya,” katanya, lapor BH.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pengamal undang-undang mempersoalkan mengenai kecacatan pada dokumen berkenaan khususnya membabitkan ketepatan penggunaan istilah dan peruntukan undang-undang.
Dokumen berkenaan, yang kini tular di media sosial dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas denda RM50 juta disyaratkan terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi menjalani baki hukuman penjaranya di rumah, dilunaskan pada Jumaat.

Antara yang membangkitkan mengenai kecacatan berkenaan ialah aktivis politik yang juga bekas Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Marzuki yang meminta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan penjelasan lanjut berhubung penggunaan perkataan ‘discharge’ dan ‘forthwith’ di dalam dokumen itu.
Beliau memberitahu, perkataan ‘discharge’ dan ‘forthwith’ digunakan di mana menurut istilah perundangan, ia bermaksud ‘dilepaskan serta-merta’ sekali gus seolah-olah memberi makna Najib mesti dilepaskan serta-merta dan terus bebas setelah membayar denda berkenaan.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Baginda bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Pembayaran denda RM50 juta itu adalah antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 9 November, 2026
