KUALA LUMPUR – Ibu bapa diwajibkan hadir sendiri ke sekolah anak masing-masing bagi menuntut Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai RM200 bagi sesi persekolahan 2027, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ketetapan itu bertujuan memastikan ibu bapa meluangkan masa bertemu dengan guru bagi membincangkan perkembangan akademik, disiplin serta tingkah laku anak-anak secara bersemuka.
“Sebab itulah saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa tahun depan, anak-anak akan dapat RM200. Tetapi, kita tidak serahkan wang itu ke rumah kerana kita mahu ibu bapa datang sendiri ke sekolah berjumpa dengan guru-guru,” katanya ketika berucap pada majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara “AI Temu AI” di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar mencadangkan pihak sekolah mengaturkan sesi pertemuan tiga penjuru membabitkan guru, murid dan ibu bapa ketika agihan bantuan tersebut dijalankan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar BAP daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid yang memanfaatkan 5.3 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan ibu bapa agar tidak melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya di bahu warga pendidik, sebaliknya bersama-sama berganding bahu membentuk sahsiah dan akhlak generasi muda.
“Pendidikan bukan sekadar proses menimba ilmu, sebaliknya bertujuan membentuk manusia yang baik, berdisiplin dan mempunyai nilai akhlak yang memerlukan kerjasama rapat antara ibu bapa dengan guru,” tegasnya sambil turut berpesan kepada murid supaya sentiasa menghormati dan menghargai pengorbanan ibu bapa.
Dalam perkembangan berasingan pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad supaya menetapkan senarai judul buku wajib baca kepada setiap murid sepanjang cuti persekolahan Disember ini.
Beliau menegaskan setiap pelajar perlu menghabiskan sekurang-kurangnya dua buah buku sepanjang tempoh cuti penggal berkenaan bagi memastikan budaya membaca terus subur dalam kalangan generasi muda. – November 25, 2026
