KUALA LUMPUR — Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berikutan keputusan membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah, menimbulkan beberapa persoalan menarik berhubung pendirian parti itu dan perannya dalam kerajaan perpaduan.
Loke berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebagai respons parti terhadap isu berkenaan, sambil menegaskan bahawa DAP menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan.
Namun, timbul satu persoalan yang cukup ketara:
Mengapa hanya Anthony Loke?
Sekiranya isu ini cukup serius hingga memaksa Setiausaha Agung DAP menawarkan diri untuk keluar daripada Kabinet, mengapa menteri dan timbalan menteri parti yang lain memutuskan untuk kekal dalam kerajaan?
Loke sendiri menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu hanya melibatkan dirinya, manakala menteri serta timbalan menteri DAP yang lain akan kekal dalam pentadbiran bagi memastikan kestabilan politik.
Itu satu penjelasan politik yang munasabah.
Namun, ia turut membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai prinsip, tanggungjawab, dan ketekalan.
Jika DAP menganggap keputusan tahanan rumah Najib itu secara dasarnya sukar dikompromikan dengan prinsip dan nilai parti, mengapa hanya seorang menteri yang perlu menanggung akibat politik manakala yang lain terus berkhidmat dalam Kabinet?
Ia bukan serangan peribadi terhadap Loke.
Malah, beliau wajar diberi pujian kerana berani mepertaruhkan jawatan Kabinetnya sendiri.
Namun, tepat kerana langkah yang diambilnya itu, DAP juga perlu menjelaskan apakah yang mahu dicapai menerusi peletakan jawatan berkenaan selain sekadar menunjukkan ketidaksetujuan parti.
Jika kestabilan politik menuntut menteri-menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan, maka itu satu pendirian yang boleh difahami oleh rakyat Malaysia.
Lagipun, menguruskan kerajaan sememangnya memerlukan kompromi.
Tetapi ia turut membangkitkan persoalan tentang sejauh mana kompromi politik itu boleh dibuat sebelum ia mula menggugat prinsip sesebuah parti.
DAP menegaskan bahawa ia menghormati kuasa perlembagaan Agong untuk mengurniakan pengampunan.
Loke juga memaklumkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, telah menyampaikan pandangannya secara jujur dan berterus terang semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Perbezaan peranan itu penting.
Peranan Yeoh tidak sepatutnya digambarkan sebagai satu sokongan terhadap keputusan itu semata-mata kerana beliau merupakan salah seorang ahli lembaga berkenaan.
Oleh itu, isunya bukanlah sama ada setiap menteri DAP menyokong keputusan tersebut secara peribadi.
Persoalan politik yang lebih besar adalah:
Jika jawapan DAP adalah dengan meminta setiausaha agungnya meninggalkan Kabinet, mengapa tindakan itu hanya terhad kepada seorang menteri sahaja?
Mungkin parti itu percaya bahawa peletakan jawatan Loke sudah memadai untuk menzahirkan penentangan mereka, di samping membolehkan kerajaan perpaduan terus berfungsi.
Mungkin itulah titik keseimbangan yang dirasakan perlu dicapai oleh DAP.
Jika benar begitu, rakyat Malaysia berhak untuk bertanya sama ada ini terutamanya soal prinsip, strategi politik, atau gabungan kedua-duanya.
Di sinilah politik menjadi semakin menarik.
DAP kekal sebahagian daripada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Loke menawarkan diri untuk keluar.
Menteri-menteri DAP yang lain kekal.
Pentadbiran kerajaan diteruskan.
Jadi, apa sebenarnya yang berubah?
Adakah peletakan jawatan Loke sekadar menjadi satu bantahan simbolik?
Adakah DAP kekal mempertahankan pengaruhnya dalam Kabinet sambil menunjukkan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut?
Dan adakah langkah ini memberi tekanan politik tambahan kepada Anwar tanpa menggugat kestabilan kerajaan itu sendiri?
Ini adalah soalan-soalan wajar yang timbul daripada percaturan politik yang dipilih oleh DAP.
Kemudian, ada satu lagi soalan yang secara semula jadinya mungkin ditanya oleh rakyat Malaysia:
Siapa sebenarnya yang menekan siapa?
Jika DAP percaya keputusan itu telah melampaui batas penting, adakah peletakan jawatan itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri?
Jika ya, apakah yang sebenarnya mahu dicapai oleh DAP?
Dan jika parti itu kekal dalam kerajaan, sejauh manakah mereka bersedia membawa penentangan tersebut?
Sekali lagi, ini adalah persoalan, bukannya tuduhan.
Tetapi ini adalah persoalan yang hadir bersama risiko menjadi sebahagian daripada kerajaan gabungan.
Rakyat Malaysia memahami politik gabungan.
Mereka tahu parti-parti politik perlu berkompromi.
Mereka tahu parti politik kadangkala harus bekerjasama dengan seteru politik mereka.
Mereka juga tahu bahawa memerintah bermakna membuat keputusan yang mungkin tidak memuaskan hati semua pihak.
DAP sendiri telah membuktikan realiti politik itu selepas PRU15, apabila mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional dan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Itu merupakan satu perkembangan politik besar selepas bertahun-tahun perseteruan antara DAP dan UMNO.
Hujah ketika itu sebahagian besarnya adalah demi kestabilan politik dan keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berfungsi.
Mungkin perkara itu memang satu keperluan.
Tetapi jika realiti politik boleh menghalalkan tindakan bekerjasama dengan bekas seteru politik, maka adakah wajar untuk bertanya sama ada realiti politik yang sama juga menjelaskan mengapa menteri-menteri DAP yang lain kekal dalam Kabinet berhubung isu Najib ini.
Di sinilah timbulnya persoalan mengenai ketekalan pendirian.
Jika kompromi itu perlu demi membentuk sebuah kerajaan, adakah kompromi juga perlu untuk memastikan kerajaan itu terus berfungsi?
DAP berupaya menjawab persoalan itu.
Dan mungkin mereka patut melakukannya.
Kerana lanskap politik tahun 2026 amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Rakyat Malaysia kini lebih celik politik, dan mereka sedang memerhatikan bagaimana parti-parti politik mengimbangkan antara prinsip dan realiti praktikal dalam mentadbir.
Mereka juga berdepan dengan isu-isu yang tiada kaitan langsung dengan percaturan politik.
Angka rasmi terkini menunjukkan kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9% pada Ogos 2026 berbanding 1.8% pada Julai.
Kos pengangkutan melonjak 2%, manakala perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 2.1%. Makanan dan minuman juga naik 1.9%.
Kerajaan mengakui bahawa rakyat Malaysia masih berdepan tekanan kos sara hidup, di mana Anwar mengumumkan enam langkah segera pada Ogos lalu merangkumi bidang seperti subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, AI, e-Invois dan pembiayaan mikro.
Inilah isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.
Keluarga memikirkan tentang perbelanjaan isi rumah.
Anak-anak muda memikirkan tentang pemilikan rumah.
Pekerja memikirkan tentang gaji dan jaminan pekerjaan.
Peniaga kecil memikirkan tentang kos operasi.
Ibu bapa memikirkan tentang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Pengguna pengangkutan awam mahukan perkhidmatan yang cekap dan berpatutan.
Ini bukannya prinsip-prinsip politik yang abstrak.
Ini adalah tentang kehidupan sebenar rakyat.
Dan sekiranya DAP masih mahu dilihat sebagai sebuah parti yang mengutamakan rakyat, maka isu-isu ini wajar diberikan tumpuan politik yang saksama sebagaimana pergolakan politik yang berlaku di Putrajaya.
Lihat sahaja isu kos sara hidup.
Lihat isu perumahan.
Lihat perkhidmatan kesihatan awam.
Lihat pengangkutan awam.
Lihat kadar gaji.
Lihat peluang untuk anak-anak muda Malaysia.
Lihat kelangsungan hidup perniagaan-perniagaan kecil.
Di sinilah ruang di mana rakyat Malaysia pada akhirnya akan menilai setiap parti politik—bukan sekadar menerusi apa yang dituturkan semasa kontroversi politik, tetapi menerusi apa yang dilaksanakan apabila diberi kuasa untuk memerintah.
Anthony Loke telah membuat pilihannya.
Beliau telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatan Kabinetnya.
Itu adalah keputusan beliau.
Namun, keputusan DAP adalah sesuatu yang berbeza.
Parti itu telah memilih untuk kekal dalam kerajaan sambil membenarkan seorang daripada pemimpin paling kanannya untuk berundur.
Itulah sebabnya pelbagai persoalan akan terus dibangkitkan.
Bukan kerana rakyat Malaysia tidak faham politik. Malah sebaliknya.
Mereka faham bahawa setiap peletakan jawatan, setiap kenyataan, dan setiap keputusan gabungan membawa implikasi politiknya yang tersendiri.
Mungkin ini adalah soal prinsip.
Mungkin ini adalah strategi politik.
Atau mungkin gabungan kedua-duanya sekali.
Tetapi jika kestabilan politik menjadi alasan utama menteri-menteri DAP yang lain kekal dalam Kabinet, DAP sepatutnya tidak ragu-ragu untuk menyatakannya secara terang dan jelas.
Dan jika prinsip serta nilai tetap menjadi teras parti, maka rakyat Malaysia berhak untuk mengharapkan prinsip-prinsip tersebut diterapakn secara konsisten.
Kerana ini adalah tahun 2026.
Rakyat sedang memerhati.
Dan mungkin soalan sebenar buat DAP bukanlah sekadar ke mana hala tuju Anthony Loke selepas ini.
Tetapi ke mana arah tuju parti itu sendiri selepas ini. – 24 September, 2026
T. Vignesh ialah Editor Eksekutif Scoop.my

