HEADLINES

Filem Rain Town lakar kejayaan terpilih wakili Malaysia untuk tayangan perdana di 10th Silk Road International Film Festival

Filem arahan Tunku Mona Riza ini menampilkan pelakon handalan seperti Susan Lankester, Chew Kin Wah, Fabian Loo dan ramai lagi

5:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Filem berbahasa Kantonis ‘Rain Town’ terbitan Current Pictures Sdn. Bhd. melakar kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia sebagai Tayangan Perdana Dunia (World Premiere) di festival filem antarabangsa 10th Silk Road International Film Festival (SRIFF), yang akan berlangsung di Fuzhou, China pada 23 hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Tunku Mona Riza berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila filem kedua arahannya itu mendapat perhatian pihak luar serta berpeluang untuk ditayangkan di sebuah festival berprestij di luar negara.

“Sudah tentu ini merupakan peluang untuk masyarakat luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya secara lebih dekat menerusi penayangan filem Rain Town di SRIFF.

“Apatah lagi, SRIFF merupakan antara salah sebuah festival filem yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut,” ujarnya.

Rain Town mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai masalah – Gambar Current Pictures, 23 September, 2023

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada inisiatif China’s Silk Road Film Bridge Project, penganjuran SRIFF ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audiovisual China.

Tayangan perdana dunia Rain Town akan menyaksikan garapan seni kreatif pengarah berkenaan yang sebelum ini telah banyak memenangi anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha.

Filem yang mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai masalah yang menimpa mereka turut menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan keluarga yang diterjemahkan di layar.

Sementara itu, sebagai karya kreatif sulung pengarah tersebut untuk filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona memberitahu dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia yang majmuk dan harmoni sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan di dalam dan luar negara.

Pengarah Rain Town, Tunku Mona, memberitahu dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia – Gambar Current Pictures, 23 September, 2023

“Saya membuat filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, perlu ada pelbagai cerita budaya yang terdapat di Malaysia.

“Sudah tentu saya harap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini, sekali gus membuka dan memberi inspirasi kepada pengarah dan penerbit tempatan lain untuk mula mencipta filem silang budaya/bahasa yang menggambarkan tentang masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Rain Town menampilkan barisan pelakon hebat yang terkenal serta pemenang anugerah seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan yang telah mencipta impak magis lakonan sebagai sebuah keluarga dengan pelbagai dimensi individu yang membawa kelainan serta kekuatan dalam cerita.

Penonton filem tempatan akan dapat menonton Rain Town bermula 8 Februari 2024 di pawagam di seluruh negara. – 23 September, 2023

Topics

 

Popular

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related