‘Lagu Lemak Manis viral hingga negara luar kerana saya tidak memusuhi teknologi’: Roslan Madun

Katanya, teknologi adalah rakan terbaik untuk berkembang dalam apa bidang sekalipun, malah ia tidak boleh dianggap penyebab kehilangan tradisi

4:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pejuang lagu rakyat, Roslan Madun menganggap kejayaan Lemak Manis yang kini viral serta diminati segenap lapisan masyarakat adalah disebabkan dia tidak memusuhi teknologi.

Menurut Roslan, demi memastikan lagu rakyat ciptaan dan nyanyiannya itu diterima masuk dalam pasaran muzik arus perdana, dia mengambil keputusan merakamkan Lemak Manis dalam bentuk gubahan muzik lengkap untuk dimuatkan di dalam album pertamanya yang diterbitkan pada 2002, walaupun dia mula menyanyikannya pada tahun 1980.

“Ketika projek rakaman, saya mengambil pendekatan kreatif untuk menggunakan gubahan muzik lengkap seperti mana lagu daripada genre muzik lain.

“Kerana saya berpendapat lagu Lemak Manis yang asalnya diiringi paluan rebana atau gendang semata-mata, perlu diberikan suntikan inovasi.

“Dalam erti kata lain, saya menggunakan apa juga teknologi yang ada masa itu dengan harapan supaya lagu rakyat dapat diterima masuk ke arus perdana.

“Maka lahirlah album pertama saya itu yang mengandungi 10 lagu rakyat, termasuk lagu Lemak Manis. Dengan cara ini, lagu rakyat akhirnya dapat disiarkan di corong radio seperti lagu genre muzik lain,” katanya.

Roslan mendedahkan perkara itu melalui Facebok rasminya, hari ini.

Namun, Roslan mengakui kelemahan pemasaran album pertamanya itu, menyebabkan lagu rakyatnya agak perlahan sampai kepada masyarakat.

“Album pertama saya itu tidak saya jual di pasaran awam. Sebaliknya, saya hanya menghantarnya ke stesen radio Pahang FM, Radio Klasik dan THR Gegar Pantai Timur. Maka, hanya tiga stesen radio itulah pada awalnya menyiarkan lagu saya.

“Apabila memasuki era digital dan berkembangnya media sosial, lagu rakyat menjadi mudah untuk dimuatnaik ke Youtube serta beberapa aplikasi lainnya.

“Sekarang semua stesen radio di Malaysia menyiarkannya. Ini termasuklah Radio Republik Indonesia (RRI) Medan, Batam, Tanjung Pinang, Bengkalis serta stesen radio swasta di sana, termasuk di Aceh,” katanya.

Roslan yang juga pensyarah memberitahu, ketika mengajar dan memberi ceramah kepada pengajar mengenai lagu rakyat atau puisi tradisional, dia selalu mengingatkan mereka supaya jangan memusuhi teknologi, sebaliknya berkawanlah dengan kemajuan era digitalisasi.

“Kita masih boleh mengekalkan tradisi meskipun menjadikan kecanggihan teknologi sebagai pengantar. Kerana itu juga dendangan syair kini menjadi dominan, terutama dalam kalangan guru dan murid seluruh Malaysia.

“Berbalik kepada lagu Lemak Manis, tidak dapat tidak saya perlu akui, TikTok sangat berkesan dan menjadi faktor terbesar Lemak Manis kian tular.

“Walaupun video berdurasi satu minit, ternyata TikTok seperti sebutir peluru yang laju. Sebaik saja dimuat naik dengan tanda pagar serta corak kandungan sesuai, lalu seluruh dunia dapat melihat dan menikmatinya.

“Maka benarlah apa saya duga selama ini, teknologi adalah rakan terbaik untuk kita berkembang dalam apa bidang sekalipun. Jangan memusuhi teknologi dan jangan beranggapan ia penyebab kita kehilangan tradisi.

“Peranan beberapa artis yang membuat ‘cover’ lagu ini juga tak boleh dinafikan. Saya menulis berkenaan Haziq Rosebi, Wak Jeng dan Beto @ Bulan Bintang yang menjadi peranan penting dalam mengangkat lagu rakyat yang kini viral selepas 21 tahun ia dirakamkan,” katanya.

Haziq Rosebi antara artis yang membuat ‘cover’ lagu Lemak Manis dendangan asal Roslan Madun – Gambar Facebook Haziq Rosebi, 25 November, 2023

Pada masa sama, Roslan yang selama ini memperjuangkan lagu rakyat sejak sekian lama juga, mengucapkan terima kasih kepada semua yang memuat naik klip lagu Lemak Manis, walau dengan pelbagai genre dan rentak ke akaun media sosial mereka, tidak kira di negara mana.

“Dalam satu temu bual siaran langsung oleh TV Sarawak (TVS) baru-baru ini, saya ditanya apakah yang menyebabkan saya konsisten memperjuangkan lagu rakyat dan bersusah payah hampir 40 tahun.

“Jawapan saya, lagu rakyat adalah akar budaya kita. Maka kita perlu sama-sama pegang kukuh akar ini, supaya ia menjadi tunjang kekuatan bangsa,” katanya. – 25 November, 2023

Topics

Popular

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related