Tunku Mona Riza ambil risiko arah filem berbahasa Kantonis, Rain Town

Menurut Tunku Mona, dia memilih untuk menghasilkan filem berbahasa Kantonis untuk filem kedua arahannya kerana sukakan cabaran

5:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Tunku Mona Riza berani mengambil risiko dengan menghasilkan filem Rain Town yang menggunakan bahasa Kantonis dan menampilkan pelakon Cina.

Katanya, walaupun Rain Town adalah filem kedua diarahkannya, setiap karya mempunyai cabaran tersendiri dan dia seorang yang sukakannya.

Tunku Mona berkata, filem pertamanya, iaitu Redha yang mengetengahkan isu autism juga memberi cabaran kepadanya kerana dia tidak mempunyai anak autism.

“Malah Super Telemovie pertama saya berjudul Uri ada menggunakan bahasa Iban, manakala yang kedua, iaitu Parit Jawa juga banyak menggunakan bahasa Jawa.

“Untuk filem kedua, saya tetap mahukan cabaran. Bukannya saya tak boleh buat filem Melayu. Tetapi saya mahu mencabar diri sendiri. Saya juga tertarik dengan kisah judi hujan (rain betting).

Kongsi Tunku Mona, skrip filem itu juga ditulis penulis berbangsa Melayu, Shahazril Hamzah dan Zarina Omar.

Biarpun tidak punya kemahiran menguasai berbahasa Cina, namun pengarah filem, Tunku Mona berani mengambil risiko untuk mencabar kemampuan dirinya dengan menghasilkan filem Rain Town yang menggunakan bahasa Kantonis dan menampilkan barisan pelakon berbangsa Cina. – Gambar PR, 19 Disember, 2023

Skrip itu kemudian, katanya, diterjemahkan ke Kantonis, malah sewaktu penggambaran dijalankan, terdapat penyelia bahasa yang memantau lontaran dialog setiap pelakon.

Pada hari pertama penggambaran, jelasnya, dia sedikit gementar kerana pelakon membuat ‘add lip’ dialog mereka.

“Namun, selepas hari ketiga baru saya semakin mudah kerana saya ingat ‘kata kunci’ penting, malah lontaran dialog mereka kedengaran lebih sedap dan ‘natural’,” katanya.

Mengulas lanjut, Tunku Mona berkata, proses pemilihan pelakon juga tidak mudah.

Ujarnya, ia memerlukan sesi ujibakat dilakukan banyak kali secara dalam talian kerana ketika itu, negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan setakat itu, katanya, malah bagi mencari keserasian pelakon untuk memainkan watak sebagai sebuah keluarga tidak mudah.

“Sewaktu saya tawarkan filem ini kepada Chew Kin Wah, dia beritahu saya bahawa dia hanya akan terlibat dengan filem ini seandainya ia dihasilkan dalam bahasa Kantonis.

“Saya bersyukur kerana kesemua pelakon yang terlibat sangat hebat. Mereka kelihatan seperti sebuah keluarga sebenar.

“Semua mereka boleh bertutur dalam bahasa Kantonis, tetapi disebabkan setiap pelakon berasal dari negeri berbeza, kadang-kadang ‘terlari’ loghat itu. Jadi penyelia bahasa akan minta mereka buat semula untuk pastikan sebutan mereka tepat,” kongsinya.

Selain Chew Kin Wah, filem Rain Town menampilkan Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan sebagai watak utama.

Biarpun belum ditayangkan secara rasmi di Malaysia, filem itu sudah ‘menjelajah’ ke beberapa negara apabila terpilih menyertai festival filem antarabangsa, antaranya di China, India, Amerika Syarikat, Kanada dan Indonesia.

Ditanya bagaimana penerimaan masyarakat luar mengenai filem itu, terutamanya di China, kata Tunku Mona, dia bersyukur kerana maklum balas diterima sangat positif.

“Kebanyakan penonton muda sangat sukakan filem ini. Pada mulanya saya fikir mungkin mereka akan bosan kerana anak muda lebih sukakan filem aksi atau yang bergerak pantas. Tetapi mereka suka. Malah mereka mengejar pelakon kita, iaitu Wilson Lee.

“Tetapi paling saya tak sangka penerimaan penonton dari India kerana mereka sebenarnya tidak berapa gemar menonton filem Cina pada pandangan saya. Perkara sama turut diberitahu rakan saya dari India yang juga pembikin filem di sana.

“Sewaktu tayangan filem ini di sana, panggung penuh. Saya lihat kebanyakan penonton lebih dewasa. Saya fikir pasti mereka tidak akan suka filem ini, tetapi saya terkejut apabila mereka sangat suka. Saya sangat berharap maklum balas saya terima di luar negara sama seperti di Malaysia apabila filem ini ditayangkan nanti,” kongsinya.

Selain diarahkan dan ditulis pengarah serta penulis Melayu, filem ini turut diterbitkan dan disunting individu berbangsa Melayu.

Malah, penyanyi lagu runut bunyinya juga adalah penyanyi berbangsa Melayu, iaitu Firdhaus yang begitu dikenali peminat Cina.

Rain Town akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari depan sempena Tahun Baru Cina. – 19 Disember 2023

Topics

Popular

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related