HEADLINES

Ryan Bakery henti promosi produk dikaitkan dengan Israel, sanggup pulangkan wang

Menurut Ryan, biarpun masih berbaki tarikh untuk mempromosikan jenama tersebut di platform media sosialnya, dia tidak mampu teruskan dan sanggup pulangkan wang

9:52 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan pencipta kandungan terkenal, Ryan Bakery mengakui dia tidak lagi mahu mempromosikan produk yang dikaitkan dengan Israel di akaun media sosialnya.

Menurut Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, sebagai pempengaruh media sosial, semestinya dia banyak bekerjasama dengan beberapa jenama produk termasuklah yang dikaitkan dengan Israel.

“Bila terjadinya perang di antara Palestin dan Israel, saya sebagai pempengaruh yang beragama Islam, semestinya turut terkesan melihat keadaan ini.

“Tidak dinafikan, saya punya ‘client’ dari jenama-jenama yang dikaitkan dengan Israel.

“Jadi saya buat keputusan untuk tidak lagi mempromosikan jenama-jenama tersebut di platform media sosial saya,” katanya ketika ditemui di majlis beramah mesra anjuran Indigital Music dan FYP Media.

Pencipta kandungan terkenal, Ryan Bakery mengakui dia tidak lagi mahu mempromosikan produk yang dikaitkan dengan Israel. – Gambar Instagram, 28 Disember, 2023

Tambah peserta Famili Duo musim ketiga ini lagi, dia sanggup memulangkan semula duit ‘client’ untuk kerja yang tak sempat dilunaskan.

“Bila kita bekerjasama untuk buat kempen dengan jenama-jenama ini, ada beberapa tarikh ‘posting’ yang kita kena ikut. Jadi ada beberapa lagi baki yang tak dapat saya teruskan.

“Selepas berbincang dengan pihak ‘client’, mereka pun faham dengan situasi ini. Jadi saya pulangkan semula wang mereka untuk bahagian yang belum saya promosi,” jelasnya.

Ditanya tidakkah dia berasa satu kerugian kerana terpaksa melepaskan mata pencariannya, kata Ryan dia percaya dengan rezeki yang ditetapkan.

“Saya percaya pada rezeki Allah. Saya tiada rasa ragu-ragu. Saya pun telah beritahu pihak pengurusan bahawa saya tidak boleh bekerjasama dengan jenama-jenama tertentu dan mereka pun faham dan hormati keputusan saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ryan dan adiknya Adam Bakery bakal melancarkan ‘single’ mereka pada Januari tahun hadapan serta muncul dengan beberapa buah telemovie. – 28 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related