Kewujudan LPF tidak sepatutnya dijadikan alasan sekat kreativiti pembikin filem: CEO Finas

Negara lain termasuk Singapura, China dan Jepun turut mempunyai undang-undang ketat tetapi industri perfileman mereka masih lagi maju dan membangun

6:52 PM MYT

 

PETALING JAYA – Kewujudan Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak sepatutnya dijadikan alasan menyekat kreativiti pembikin filem dan kandungan, sekiranya mereka memahami polisi dan syarat penerbitan filem di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, negara lain termasuk Singapura, China dan Jepun turut mempunyai undang-undang ketat tetapi industri perfileman mereka masih lagi maju dan membangun.

“Setiap negara ada undang-undang dan peraturan. Tugas LPF bukan hanya merangkumi bahagian filem dan kandungan tapi semua termasuk cetakkan, buku serta apa saja membabitkan hebahan pada umum, memang perlu dikawal dan dipatuhi.

“Tidak semestinya apabila adanya agensi seperti LPF, maka ia dijadikan alasan boleh menyekat kreativiti kerana apa yang kerajaan ingin capai melalui LPF adalah mengenai isu menyeluruh merangkumi keselamatan dan sensitiviti.

“Tapi dari segi kreativiti dan bisnes, tiada halangan pun sekiranya pengusaha atau pembikin kandungan memahami perkara itu. Jika tiada LPF sebenarnya akan mengundang lebih banyak masalah.

“Sekiranya pembikin filem dan kandungan faham isu ini secara menyeluruh dari sudut kreativiti dan bisnes, mereka sebenarnya boleh buat apa bentuk filem sekalipun,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFAA) 2024.

Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, negara lain termasuk Singapura, China dan Jepun turut mempunyai undang-undang ketat tetapi industri perfileman mereka tetap maju dan membangun. – Azim Rahman/Scoop, 10 Januari, 2024

Azmir berkata demikian bagi mengulas kenyataan pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar yang berpendapat kewujudan LPF sebagai halangan besar kepada pertumbuhan industri filem tempatan kerana menyekat kebebasan untuk bersuara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bukan hanya Singapura, China dan Jepun tetapi negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga mempunyai syarat dan polisi dalam penghasilan kandungan, tetapi ia tidak pernah dianggap sebagai satu beban sehingga mengekang kreativiti mereka.

“Siaran televisyen percuma di AS dan Eropah, mereka ada undang-undang masing-masing. Contohnya di AS, filem atau kandungan yang mempunyai adegan mencolok mata tidak dibenarkan, tetapi filem aksi lulus tayangan, manakala Eropah pula sebaliknya.

“Tapi polisi itu langsung tidak membataskan kreativiti mereka. Sebaliknya mereka tetap hasilkan filem atau kandungan bersesuaian dengan garis panduan dan polisi di negara mereka,” katanya.

Biarpun LPF bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Azmir berkata, bagaimanapun Finas sentias menyokong agensi itu kerana tidak mahu sebarang isu timbul.

Pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar sebelum ini menganggap kewujudan LPF sebagai halangan besar kepada pertumbuhan industri filem tempatan kerana menyekat kebebasan untuk bersuara. – Gambar fail, 10 Januari, 2024

“Finas tidak mahir dalam isu di luar kreativiti atau filem. Apabila babitkan penyampaian mengenai isu agama, kenegaraan, perkauman dan lain-lain, di sinilah Finas dan LPF bekerjasama.

“LPF tidak pernah mengamalkan sikap ‘double-standard’. Apa yang mereka buat sebenarnya dah cantik. Tapi sebagai badan yang sering bekerjasama dengan LPF, apa yang kita nampak, masalah itu ditimbulkan produser sendiri.

“Mereka mohon filem dihasilkan, dikategorikan dalam umum. Bila nak dapatkan umum atau kelonggaran dari segi kategori, banyaklah babak tak bersesuaian terpaksa dipotong.

“Berbeza dengan filem dari luar, mereka terima saja filem diletakkan di bawah PG18 atau lebih ketat lagi kerana tak mahu filem dipotong. Seperti saya katakan, ini bukan double standard tetapi itu adalah polisi LPF,” katanya.

Terdahulu, Khairi dalam temu bual bersama sebuah portal turut mengkritik LPF apabila sering menolak filem yang dirasakan kurang bersesuaian kerana percaya generasi muda belum bersedia untuk kandungan sedemikian.

Katanya, dia tidak bersetuju dengan pendapat penjawat awam lama yang suka mengarahkan golongan muda apa yang tidak patut ditonton kerana tindakan itu hanya menghalang negara daripada meneroka idea baharu. – 10 Januari, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related