◉ HEADLINES

Arah filem komedi lebih sukar, Azaromi angkat pengawal keselamatan hero dalam filem Leha sempena Aidilfitri

Menampilkan pelakon seperti Ali Puteh dan Kodi Rasheed, filem Leha bakal ditayangkan pada 11 April ini

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menghasilkan filem komedi lebih sukar berbanding filem seram, hal ini diakui pengarah filem, Azaromi Ghozali apabila bercerita mengenai filem aksi komedi pertamanya, Leha yang bakal ditayangkan sempena Aidilfitri pada 11 April ini.

Menurut Azaromi atau lebih mesra disapa Romi, tidak seperti genre filem lain, dia perlu memastikan komedi yang disampaikan dalam filem tersebut dapat difahami penonton serta dapat menggeletek hati mereka.

“Kalau nak buat cerita air mata atau kisah seram, ia memang agak mudah. Namun jika filem komedi, ia sangat subjektif kerana bukan senang untuk buat penonton terhibur.

“Setiap orang ada citarasa tersendiri. Jadi tidak perlu hairan jika satu panggung ketawa, tiba-tiba seorang daripadanya langsung tidak senyum dan begitu juga sebaliknya apabila kita langsung tidak ketawa.

“Inilah cabaran terbesar buat diri saya untuk mengarahkan sebuah filem komedi seperti Leha. Tetapi saya menyahut cabaran ini kerana ingin penonton terhibur dengan lawak jenaka yang disampaikan secara tidak langsung dalam filem ini,” katanya.

Menurut Azaromi, mengarahkan filem komedi lebih sukar berbanding cerita air mata atau seram kerana ia tidak mudah untuk membuatkan orang ketawa. – Gambar PR, 4 April, 2024

Mengulas mengenai Leha, Azaromi berkata, dia cuba menghasilkan filem yang mengangkat golongan pengawal keselamatan sebagai hero dalam filem tersebut dengan sifat keberanian, tanggungjawab dimiliki serta pengorbanan besar dalam menjaga keselamatan orang awam.

“Ilham untuk mengangkat mereka tercetus apabila sering melihat sikap segelintir masyarakat yang suka memandang rendah serta remeh pekerjaan seseorang pengawal keselamatan.

“Walhal kerjaya pengawal keselamatan ini sebenarnya sangat penting dalam mengawal keselamatan di sesebuah kawasan atau premis daripada sebarang ancaman ataupun kemungkinan,” katanya.

Jelasnya lagi, usaha mengangkat taraf pengawal keselamatan ke satu tahap yang lebih tinggi adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya sebagai warga tempatan.

“Saya cuba mengangkat mereka ke satu tahap yang lebih tinggi agar masyarakat memandang mereka dengan persepsi berbeza kerana mereka punya keberanian tersendiri, selain mendapat latihan ala tentera. Pada saya, ia antara tarikan utama dalam filem ini.

“Boleh dikatakan filem Leha ini saya cetuskan sebagai satu penghargaan buat seluruh warga pengawal keselamatan dan seluruh ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM),” katanya yang pernah menghasilkan dua filem seram sebelum ini iaitu Hospital dan Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

Filem Leha yang merupakan aksi komedi pertama arahan Azaromi akan ditayangkan sempena Aidilfitri pada 11 April ini. – Gambar PR, 4 April, 2024

Filem tersebut mengisahkan mengenai seorang gadis, Leha pekerja di sebuah kilang yang mengetahui rahsia di sebalik kes jenayah pemerdagangan manusia di tempat kerjanya.

Leha hampir diculik sekumpulan lelaki di depan kilangnya namun kejadian berkenaan disedari dua pengawal keselamatan iaitu Sani dan Khai yang berjaya menyelamatkannya.

Filem Leha terbitan syarikat produksi Alfanazra Productions itu menampilkan barisan pelakon popular seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi. – 4 April, 2024

Topics

 

◉ Popular

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

What the pork!? – Rocky Bru

Rocky Bru reflects on a surprise in-flight warning about Malaysia’s pork import ban, tracing its public health roots and the politics of pig farming through a seasoned traveller’s lens

Southern Tigers ready to do what it takes to keep Bergson in JDT

The 34-year-old Brazilian is currently being targeted by Sport Club do Recife from Brazil’s top football league

◉ Related