Shahrulezad rancang hasilkan Khunsa musim kedua, ‘tetapi saya sendiri tidak pasti bila kerana…’

Katanya, dia memerlukan masa untuk menyiapkan skrip sambungan karya itu, selain terikat dengan komitmen menghasilkan projek drama lain

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali Budak Ijat mempunyai alasan sendiri mengapa penamat drama Khunsa yang berakhir malam kelmarin (Khamis), tergantung jalan ceritanya sehingga menimbulkan persoalan dan rasa tidak puas hati penonton.

Shahrulezad ketika dihubungi Scoop berkata, mengikut perancangan awal, dia sepatutnya menyiapkan drama bersiri karya dan arahannya itu sebanyak 40 episod, namun disebabkan kekangan masa, ia hanya dapat disiapkan 28 episod.

“Tak ramai sebenarnya pengarah yang buat skrip sendiri. Jadi untuk saya menyiapkan drama ini sebanyak 40 episod dalam tempoh tertentu, ia bukan sahaja tidak logik tetapi tidak mudah dilakukan, apatah bila drama ini menampilkan ramai pelakon.

“Hasil perbincangan bersama pihak Astro, ia dikurangkan kepada 30 episod. Tapi kemudian, sebelum syuting drama ini bermula, kita terpaksa mengurangkannya kepada 28 episod kerana terdapat beberapa isu.

“Oleh kerana banyak isu ingin ditonjolkan mengenai pelbagai dilema dihadapi golongan khunsa dari zaman kecil hingga dewasa, kita tak dapat tonjolkan semua perkara, termasuklah mengenai apa terjadi kepada watak Che Nisa lakonan Nadia Aqilah yang ditahan polis selepas membunuh Azlan serta watak lain bersangkutan,” katanya.

Menurut Shahrulezad, dia boleh sahaja membuang babak atau sub-plot lain demi menyudahkan penamat cerita drama Khunsa ini, tetapi dia tidak mahu melakukannya tergesa-gesa.

“Saya juga tidak mahu berlaku tidak adil terhadap watak lain di dalam drama ini yang mungkin akan terkesan apabila ada babak atau sub-plot tertentu dibuang.

“Lagipun, bila kita buat sesebuah pembikinan drama untuk tontonan pasaran besar-besaran (mass market), ‘treatment’ yang dilakukan haruslah berbeza.

“Untuk drama ‘mass market’ seperti Khunsa, kita kena masukkan elemen bersesuaian, termasuklah mencetuskan watak lain serta menambah plot tidak patut ada tetapi ada,” katanya.

Memandangkan kisah Che Nisa ini masih belum selesai sepenuhnya, Shahrulezad menjelaskan, dia sememangnya mempunyai perancangan menghasilkan musim kedua drama Khunsa ini.

Shahrulezad kanan) bersama pelakon utama drama Khunsa, Azhan Rani. – Gambar Facebook, 26 April, 2024

“Perancangan ada tetapi pada waktu sama saya sendiri tidak pasti bila dapat hasilkan musim baharu drama ini, termasuk menyiapkan skripnya kerana saya terikat dengan komitmen menghasilkan projek drama lain,” katanya.

Ditanya mengapa dia tidak menggunakan khidmat penulis skrip sedia ada untuk mengurangkan bebannya, Shahrulezad menambah, dia bukan tidak percaya dengan kemampuan mereka, namun apakah jaminan sambungan drama itu akan menjadi andai menggunakan penulis skrip lain.

“Drama Khunsa ini menjadi kerana Shahrulezad Mohameddin yang menulis. Adakah penulis skrip lain mampu menghasilkan kesinambungannya nanti? Adakah mereka boleh pastikan jiwa naskhah ini sama?

“Bagaimana kalau orang akan membandingkannya dengan apa yang pernah saya hasilkan. Persoalan lain, adalah pihak Astro setuju jika menggunakan penulis skrip lain?

“Sebetulnya saya pernah cuba ambil penulis skrip lain sewaktu di pertengahan menyiapkan Khunsa ini, tapi saya terpaksa tolak kerana apa dihasilkan tidak seperti apa dibayangkan.

“Tapi, jika ada yang boleh sambungkan drama Khunsa musim kedua ini dan dapat membawa jiwa naskhah ini dengan tepat, saya alu-alukan dan sila tampil ke hadapan,” katanya lagi. – 26 April, 2024.

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related