Tayangan khas filem ‘magiK’ termasuk wayang pacak di beberapa negeri bermula September hingga Oktober

Filem arahan pengarah dari Jepun ini menampilkan barisan pelakon handalan seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain

7:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kisah mengenai gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip diangkat dalam filem ‘magiK’ terbitan 42nd Pictures Sdn Bhd.

Tayangan khas filem itu diteruskan lagi beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia sebelum ia ditayangkan di pawagam pada 30 November ini.

Penerbit filem ‘magiK’, Bea Tanaka. – Gambar PR, 28 September, 2023

Penerbit ‘magiK’, Bea Tanaka berkata, tayangan khas itu dilakukan kerana pihaknya mahu menampilkan kelainan agar masyarakat luar bandar, khususnya golongan bermasalah pendengaran untuk menonton filem tersebut.

“Filem ini memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.

“Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai “closed caption” bagi memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran,” katanya.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip filem ini, Yasu Tanaka yang juga suami kepada Bea memberitahu, isterinya adalah bekas guru pendidikan khas (pendengaran) selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa ini.

Pengarah dan penulis skrip filem ini, Yasu Tanaka. – Gambar PR, 28 September, 2023

“Filem ‘magiK’ bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan ini.

“Kami amat teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan para penonton yang akan hadir untuk tayangan khas ini.

“Idea ‘magiK’ ini disatukan melalui hubungan Bea dengan komuniti pekak dan minat saya sendiri terhadap alam semula jadi. Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita tersebut,” katanya.

Bergenre drama, keluarga dan fantasi, ‘magiK’ adalah filem kedua arahan Tanaka selepas Nota yang ditayangkan di panggung pada 2015.

Ia diterbitkan pasangan suami isteri kelahiran Jepun ini menerusi syarikat produksi mereka, 42nd Pictures Sdn Bhd.

Antara babak menarik dalam filem magiK yang menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain. – Gambar PR, 28 September, 2023

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Tayangan khas pertama dilakukan di Warung Adri, Kuantan pada 16 September lalu , disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan akan menemui penonton di Space08000, Sungai Petani, esok.

Selain itu, tayangan khas turut diadakan di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober) serta PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober).

Tiga lokasi tayangan khas ini akan melibatkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran dan tayangan khas di YMCA KL, adalah sebahagian dari program sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa.

Jadual tayangan khas akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober.

Menurutnya lagi, pihaknya berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan di lokasi itu selama dua hari berturut-turut.

“Untuk tayangan ini kami bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak. Kami juga telah menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama JPN Perak,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai tayangan khas filem magiK boleh layari laman web www.42ndpictures.com dan mengikuti akaun TikTok dan Instagram (#magikthemovie), Facebook (42nd Pictures) serta Channel YouTube 42nd Pictures.

Poster filem magiK yang akan mula ditayangkan pada 30 November, 2023. – Gambar PR, 28 September, 2023

Filem “magiK” memaparkan Kit, gadis pekak berusia tujuh tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.
Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibu mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana dia lebih cenderung untuk hidup dalam dunianya yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, segalanya berubah apabila Kit bertemu dengan seekor kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya, berkelip dan terbang dengan cara tertentu. – 28 September, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

‘Kucing cari Sivasutan dalam bilik hari ini,’ kata bapa mangsa nahas helikopter Lumut

‘‘Dia sangat sayangkan kucing, malah hari ini kucing naik tangga cari dia dalam bilik,’’ kata M. Thanjappan, 61 ketika menceritakan mengenai anaknya, mendiang T Sivasutan yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, semalam.

Related