◉ HEADLINES

‘PRK ini hadiah ulang tahun paling bermakna untuk ayah’

Warga emas OKU itu bangun seawal 4 pagi kerana teruja untuk mengundi di Parlimen Pulai

12:19 PM MYT

 

JOHOR BAHRU – Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini, menjadi ‘hadiah ulang tahun kelahiran bermakna’ bagi seorang pengundi warga emas yang akan meraikan sambutan istimewa itu, esok.

Individu berkenaan, Mohd Ramli, 65, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui Scoop ketika datang bersama anaknya, Norul Asmawati, 35, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di sini.

Norul berkata, meskipun ayahnya menghidap strok sejak lima tahun lalu, sehingga menyebabkannya hilang kemampuan mendengar dan bercakap dengan jelas, dia tetap bersemangat untuk mengundi.

Mohd Ramli menghidap strok sejak lima tahun lalu, sehingga menyebabkannya hilang kemampuan mendengar dan bercakap dengan jelas, namun dia tetap bersemangat untuk mengundi – Gambar Scoop/Aiman Sadiq, 9 September, 2023

“Ayah saya sangat bersemangat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat. Malah, bangun seawal jam 4 pagi dan terus bersiap selepas Subuh.

“Tidak pasti ayah saya sudah mengundi berapa kali, namun ini kali pertama saya lihat dia sangat teruja, namun saya percaya ia kerana esok hari jadinya, jadi PRK ini umpama hadiah terbaik buat dirinya,” katanya.

Selain itu, seorang pengundi kawasan sama, P Andrew, 34, berkata, dia sanggup datang ke pusat mengundi seawal jam 8.15 pagi bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang, memandangkan awal pagi tidak terlalu ramai keluar berbuat demikian .

P Andrew berkata, dia sanggup datang ke pusat mengundi seawal jam 8.15 pagi bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang – Gambar Scoop/Aiman Sadiq, 9 September, 2023

“Ini kali keempat saya mengundi dan bagi PRK kali ini, prosesnya hanya kira-kira lima minit sahaja,” katanya.

“Jadi, jangkaan saya tepat pagi ini, masih tidak ramai pengundi keluar pada waktu begini. Bagaimanapun, saya jangka lebih ramai mengundi petang nanti,” kata jurusolek artis itu.

Manakala, bagi seorang pengundi muda, iaitu mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Tan Yee Seng, 21, ketiadaan ramai orang di pusat pengundian awal pagi ini, membolehkannya melaksanakan tanggungjawab itu dalam masa singkat, sebelum ke tempat kerja.

Tan Yee Seng mengharapkan agar orang ramai keluar mengundi dan tidak mengambil tindakan memboikot proses demokrasi berkenaan – Gambar Scoop/Aiman Sadiq, 9 September, 2023

“Hari ini memang laju, ambil masa lima minit sahaja. Saya macam tak sangka, namun baguslah kerana saya kena masuk kerja pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Pada masa sama, dia mengharapkan agar orang ramai keluar mengundi dan tidak mengambil tindakan memboikot proses demokrasi berkenaan.

“Orang ramai pergilah mengundi segera kerana bukan sahaja proses pengundian lancar dan cepat, petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ramah dan membantu,” katanya.

Sebanyak 61 pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai dan 14 pusat pengundian di DUN Simpang Jeram yang dijadual ditutup pada jam 6 petang.

Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, seramai 205,810 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab hari ini. – 9 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related