◉ HEADLINES

Kes Zayn Rayyan: Polis mohon bantuan Interpol bantu siasatan

Pihak berkuasa sudah menghantar bukti berhubung kes itu yang diperoleh kepada Interpol selepas lebih dua minggu mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember lalu

6:02 PM MYT

 

GOMBAK – Polis memohon bantuan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak berkuasa sudah menghantar bukti berhubung kes itu yang diperoleh kepada Interpol selepas lebih dua minggu mayat Zayn Rayyan ditemukan di tebing sungai berhampiran kediamannya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 6 Disember lalu.

“Polis sudah meminta bantuan Interpol (untuk pemeriksaan balas) pangkalan data mereka,” kata Hussein pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

“(Pangkalan data Interpol) mungkin mempunyai beberapa maklumat. Walaupun ia mungkin bukan maklumat konklusif, ia adalah bantuan,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa siasatan pembunuhan itu bukan ‘kes mudah’ dengan menyatakan polis sudah merakam kenyataan daripada 225 individu dan memperoleh sampel DNA daripada 248 orang, selain menjalankan pemeriksaan pintu ke pintu di setiap unit kediaman di kompleks pangsapuri itu.

Polis sudah merakam kenyataan daripada 225 individu dan memperoleh sampel DNA daripada 248 orang, selain menjalankan pemeriksaan pintu ke pintu di setiap unit kediaman di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. – Alif Omar/Scoop, 23 Disember, 2023

“Kami telah menganalisis rakaman dash cam dan menyemak rakaman CCTV (dari kawasan pangsapuri), tetapi kami menemui bukti minimum untuk membantu siasatan.

“Polis cuba sedaya upaya, tetapi kami tidak menemui tempat kejadian jenayah utama (di mana Zayn Rayyan dibunuh). Seperti yang kita maklumkan sebelum ini, tempat kejadian merupakan lokasi di mana mayat Zayn Rayyan ditemui.

“Sukar untuk mendapatkan bukti fizikal yang menghubungkan pelakunya (dengan jenayah) dari tempat kejadian jenayah sekunder,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di lokasi berbeza sebelum mayatnya ditemukan di tepi sungai sehari selepas dia dilaporkan hilang.

Shuhaily juga berkata, beberapa luka seperti mempertahankan diri ditemui pada badan Zayn Rayyan, selain tanda-tanda asphyxiation yang menunjukkan bahawa punca kematiannya bukan disebabkan lemas.

Susulan hasil bedah siasat, polis telah mengklasifikasikan semula kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pada mulanya memutuskan kes itu sebagai kes mati mengejut.

Polis berkata, berdasarkan bukti dikumpul setakat ini, pihak berkuasa percaya bahawa hanya seorang individu yang terlibat dalam pembunuhan kanak-kanak itu. – 23 Disember 2023

Topics

 

◉ Hangat

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

[WATCH] ‘The perception exists, but it isn’t true’: Tengku Zafrul addresses ‘payung kuning’ narrative

Former Investment, Trade and Industry Minister dismisses claims that he acts as a royal intermediary for Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, saying the long-standing 'payung kuning' perception does not reflect reality

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

◉ Related