KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sebuah sekolah menengah di Bandar Utama didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini, atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati namun bagi pesalah bawah umur, hukuman penjara tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan kes.
Menurut kertas pertuduhan, remaja itu dituduh menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun berulang kali sehingga mati di tandas pelajar perempuan di sekolah di Bandar Utama 4, pada 14 Oktober, antara jam 9.20 pagi dan 9.35 pagi.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, dan Nur Sabrina Zubairi mengendalikan pendakwaan.
Prosiding dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Sebelum itu, tertuduh yang tiba dengan van polis pada kira-kira jam 8.30 pagi, diiringi masuk ke kompleks mahkamah melalui laluan alternatif.
Difahamkan, ia bertujuan mengelak petugas media yang sedia menunggu di lobi kompleks mahkamah berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher. – 22 Oktober, 2025

