Pengukuhan nilai semasa ringgit berbanding dolar AS dan juga berbanding bête noire (pesaing utama) kita, dolar Singapura disambut dengan penuh keterujaan. Ya, ia berada pada paras tertinggi dalam beberapa tahun, selepas tempoh yang panjang dan suram bagi unit tempatan.
Namun terdapat reaksi hambar daripada pihak yang pernah menyalahkan kerajaan ketika ringgit berada pada paras terendah beberapa tahun lalu. Ironinya mereka keberatan untuk memberikan pujian apabila situasi sebaliknya berlaku. (Berlaku) adillah sikit.
Sudah tentu, sebahagian besar prestasi lemah ringgit ketika itu berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kita, namun ia tidak menghalang mata wang yang semakin susut dijadikan alat untuk menghentam kerajaan.
Pada Oktober dua tahun lalu, ada yang sudah menyanyikan lagu sedih untuk unit tempatan apabila ia menjunam hampir RM4.80 berbanding dolar AS dan sekitar RM3.50 berbanding dolar Singapura. Ia sesuatu yang menjejaskan maruah kita, dan seperti biasa, kerajaan dipersalahkan.
Ketika rencana ini ditulis, ringgit berada pada RM4.12 berbanding dolar AS dan RM3.17 berbanding dolar Singapura, meningkat masing-masing sebanyak 14 peratus dan 10 peratus.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada pengukuhan ini, dan sekali lagi, sebahagiannya berada di luar kawalan kita — seperti kelemahan umum dolar AS sejak kebelakangan ini.
Ini berlaku selepas tempoh kenaikan mendadak nilai dolar yang didorong oleh kadar faedah yang luar biasa tinggi oleh Federal Reserve — ia menaikkan kadar sebanyak 11 kali dalam tempoh tersebut untuk membendung inflasi.
Kadar faedah AS yang tinggi ketika itu menjadikan pemilikan dolar atau aset berasaskan dolar lebih menarik kerana pulangannya lebih tinggi. Ini meningkatkan permintaan global terhadap dolar dan seterusnya mengukuhkan nilainya berbanding kebanyakan mata wang, termasuk ringgit.
Namun kini terdapat kecenderungan di AS untuk menurunkan kadar faedah bagi merangsang ekonominya. Pada masa sama, Bank Negara cenderung mengekalkan kadar dasar semasa, sekali gus mengecilkan jurang kadar faedah dengan AS. Ini mengurangkan insentif untuk menjual ringgit bagi dolar, sebagai contoh.
Disebalik pandangan sinis sesetengan pihak, pasaran telah membuat kesimpulan bahawa prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan, dijangka untuk tahun ini. Pasaran juga positif terhadap usaha pengukuhan fiskal, termasuk langkah mengurangkan hutang negara. Imbangan akaun semasa negara juga mencatatkan lebihan, menunjukkan kita menjual lebih banyak daripada yang kita beli.
Ini merupakan antara asas ekonomi yang menyokong trend positif ringgit dan berita baik lazimnya menggerakkan pasaran.
Sementara ramai yang berasa senang dengan pengukuhan ringgit, mungkin membayangkan import lebih murah atau percutian di luar negara — tidak semua pihak bersorak.
Tidak dapat dielakkan, kita harus bimbang bahawa peningkatan yang terlalu cepat membawa risiko.
Pengukuhan mendadak dalam tempoh singkat sering diikuti pembetulan secara tiba-tiba sebelum ringgit berada pada paras pasaran sebenar.
Sebagai salah satu daripada 25 negara perdagangan terbesar di dunia, pengukuhan ringgit juga bermaksud eksport kita menjadi lebih mahal dan kurang kompetitif.
Industri pelancongan masuk bernilai berbilion ringgit juga boleh terjejas apabila ringgit yang lebih kukuh menjadikan Malaysia kurang menarik dari sudut “nilai untuk wang”.
Eksport elektrik dan elektronik, minyak dan gas, serta komoditi seperti minyak sawit kebanyakannya diniagakan dalam dolar AS. Tidak lama lagi, kita mungkin melihat syarikat-syarikat melaporkan kerugian terjemahan mata wang asing yang boleh menjejaskan keuntungan mereka.
Ringgit yang lebih kukuh juga boleh menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan kerana syarikat multinasional asing mungkin melihat margin keuntungan mereka mengecil — sesuatu yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi.
Nasib ringgit, kecuali jika kita memutuskan untuk mengikat semula nilainya, jarang benar berada sepenuhnya dalam tangan kita. Kita perlu bertahan dengan turun naik pasaran mata wang, tidak bertindak keterlaluan dan memanfaatkannya sebaik mungkin.
Memang sukar, tetapi kita tidak seharusnya terlalu gembira apabila ringgit naik, atau terlalu kecewa apabila ia berada pada paras yang rendah. — 15 November 2025
Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop.my

