◉ HEADLINES

Tragedi Kem Hobart: Khaled arah segerakan siasatan, latihan guna bom tangan ditangguh

Khaled turut meminta laporan penuh kejadian berkenaan diserahkan terus kepadanya sebaik siasatan selesai

2:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa siasatan berhubung kematian dua anggota tentera yang maut ketika sesi latihan menggunakan bom tangan di Kem Hobart, Kedah, disegerakan.

Khaled turut meminta laporan penuh kejadian berkenaan diserahkan terus kepadanya sebaik siasatan selesai.

“Apa silap di situ, itu yang kena siasat. Mengikut garis panduan teknikal, apabila pin dicabut, ia mesti dibaling dalam tempoh masa tujuh saat,’’ katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pengisian minyak percuma di BHPetrol Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, hari ini.

Pada 16 Jun lepas, dua anggota TDM iaitu Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, dan Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah akibat kecederaan parah susulan letupan berkenaan.

Dalam pada itu, Khaled memberitahu, Tentera Darat Malaysia telah menggantung sementara semua latihan melibatkan bom tangan susulan kejadian tersebut.

Arahan itu, katanya, berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga Lembaga Siasatan melengkapkan siasatan menyeluruh berhubung punca kejadian.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi membolehkan penilaian semula dibuat terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian senjata dan pengurusan latihan pasukan keselamatan itu.

“Kesan daripada insiden itu, pihak Tentera Darat telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua latihan yang melibatkan penggunaan bom tangan sehinggalah siasatan selesai. Kita mahu tahu mengapa keadaan itu boleh berlaku,’’ katanya.

Mengenai proses siasatan, Khaled memberitahu, ia akan merangkumi pelbagai aspek termasuk penilaian teknikal persenjataan serta keadaan emosi dan kesiapsiagaan anggota semasa latihan berlangsung.

“Saya tidak mahu membuat sebarang andaian, kita siasat dahulu. Apabila laporan siap, kita akan lihat di mana kelemahan untuk ditambah baik, termasuk melihat aspek keadaan anggota yang terlibat ketika latihan dijalankan,’’ katanya. – 21 Jun, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related