PRN Batu Tiga: Rina dianggap sukar menang kerana ‘calon kitar semula’

Pengundi Batu Tiga tidak mahu calon ‘mulut manis’, lepas menang ghaib

9:00 AM MYT

 

SHAH ALAM – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun dianggap berdepan laluan sukar untuk meraih kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga kerana beliau disifatkan ‘calon kitar semula’, susulan kekalahannya di Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

Seorang anak muda di kawasan itu, Muhammad Adha Ruslan, 27, berkata, ditambah dengan prestasi baik wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di situ, bukan mudah dan tiada jaminan kukuh untuk pemimpin wanita terbabit merebut kerusi berkenaan.

Muhammad Adha Ruslan berkata golongan belia di kawasan itu kebanyakannya merupakan penyokong PH. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

“Saya yakin PH mampu mengekalkan kemenangan di sini kerana banyak inisiatif yang sudah ditawarkan oleh kerajaan Selangor sebelum ini yang sedikit sebanyak meringankan beban pelbagai pihak, malah penduduk di sini pasti akan menolak calon kitar semula seperti Rina. 

“Memang benar, beliau adalah seorang bekas menteri, namun itu tidak menjamin kemenangannya. Walaupun dikatakan anak muda akan menyokong PN, tetapi bagi saya, ia sukar menjadi kenyataan kerana sebenarnya belia di sini setia bersama PH,” kata peniaga minuman itu ketika ditemui Scoop di DUN Batu Tiga.

Menurut pengundi di DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun dan Danial Al-Rashid, masing-masing mempunyai peluang. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

Bagaimanapun, tinjauan Scoop di kawasan itu mendapati, ada penduduk menyifatkan Rina dan calon PH, Danial Al-Rashid, masing-masing memiliki peluang sama rata dan mampu menambat hati pengundi untuk merebut kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Menurut seorang lagi pengundi, Kamarudin Abu, 56, angin perubahan kemungkinan akan berlaku di kawasan berkenaan, sehingga membawa kemenangan kepada PN. 

Kamarudin Abu berkata isu pendatang asing merupakan antara isu yang perlu diberikan perhatian di kawasan berkenaan. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

“Sudah lima tahun (PH) memerintah, isu pendatang asing di kawasan ini masih berleluasa tinggal di sini, walaupun pelbagai laporan dilakukan… saya sangat pelik,” katanya.

Ada pula penduduk hanya mengharapkan seorang wakil rakyat yang sentiasa bersedia mengutamakan keperluan penduduk setempat, dipilih sebagai pemimpin di situ, bukan sekadar muncul ketika tempoh berkempen.

Peniaga nasi kukus, Bilal Nazri, 43, berkata, penduduk mengimpikan pemimpin yang berjaya meraih majoriti undi nanti, tidak bersikap sambil lewa, sebaliknya bersedia berkhidmat tanpa lelah untuk rakyat di Batu Tiga sepanjang dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). 

Bilal Nazri mahu Adun yang dipilih nanti menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

“Wakil rakyat harus bersikap mesra, mudah didekati masyarakat dan mengetahui secara terperinci masalah utama dihadapi penduduk di DUN Batu Tiga. Selami masalah penduduk di sini, terutama orang kampung dan peniaga kecil yang sangat memerlukan perhatian. Jadi, tidak kiralah siapa pun menang nanti, ambillah tanggungjawab ini dengan menjalankan amanah rakyat sebaiknya.

“Saya minta lepas ini Adun yang dilantik, bantu peniaga tepi jalan, sediakan tapak untuk mereka. Kalau tidak, isu kesesakan di sini pada waktu puncak tidak akan selesai, itu akan memberi kesan kepada perniagaan kami kerana sukar untuk orang singgah ke kedai,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Jawa.

Liyana Ruslan mahu isu kesesakan jalan raya diberikan keutamaan kerana ia sudah lama berlarutan. – Gambar Scoop, 2023

Pekerja swasta, Liyana Ruslan, 30, pula meminta calon yang dipilih sebagai Adun Batu Tiga, menyediakan prasarana lebih holistik di DUN berkenaan susulan kepadatan penduduk sehingga berlaku kesesakan luar biasa hampir setiap hari. 

“Saya sebenarnya berbelah bahagi untuk mengundi calon PN atau PH. Kalau dilihat, pembangunan di sini sudah disediakan dengan baik. Namun jalan rayanya masih tiada perubahan, perlu diperbesar kerana semakin ramai yang menenetap di Batu Tiga,” kata ibu empat anak itu.

Dun Batu Tiga menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PH, PN dan Muda. – Gambar Scoop, 9 Ogos, 2023

Selain Rina dan Danial, DUN Batu Tiga yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, turut ditandingi calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen. – 9 Ogos, 2023.

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related