HEADLINES

Kerajaan tidak terlibat kes Nik Elin: Anwar

Pembangkang memainkan sentimen agama untuk menonjolkan Kerajaan Persekutuan pimpinan beliau menentang Islam sedangkan permohonan difailkan ketika PN menjadi kerajaan

2:52 PM MYT

 

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan tidak terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Beliau berkata ia diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan kuasa yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga tidak ada kena-mengena dengan (Mahkamah) Syariah… kuasa negeri. Katalah (pada persidangan) Dewan (Undangan) Negeri (DUN) bulan depan, Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu yang bercanggah dengan kuasa Negeri dan kuasa Perlembagaan Persekutuan maka boleh dirujuk dan Mahkamah Persekutuan akan dapati sekiranya bercanggah, akan membatalkan (undang-undang yang dibuat pada sidang DUN),” katanya.

Anwar berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembangkang bagaimanapun memainkan sentimen agama dalam usaha menonjolkan Kerajaan Persekutuan pimpinan beliau menentang Islam sedangkan permohonan kedua-dua wanita difailkan ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.

“… dia tahu (tentang kuasa Persekutuan dan Negeri) tapi dia gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang syariah padahal tidak ada kena-mengena dengan kita.

“Undang-Undang Negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, dia cabar di Mahkamah Persekutuan bukan Kabinet, bukan Perdana Menteri dan nak tanya sama ada undang-undang itu ikut, sah dari segi proses atau tidak dan mahkamah memutuskan dari segi bidang kuasa dan proses, tidak betul.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu Perikatan Nasional, dia tak bantah (ketika permohonan cabaran undang-undang dikemukakan). Ini berlaku pada 2020 dan 2021 (tapi) sekarang dibantah, dijadikan bahan politik,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.

“Dulu tidak ada tindakan di peringkat jawatankuasa kebangsaan untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kuasa tentang hukum syariah, sekarang sudah ada.

“Apa peranan dia? Untuk memutuskan peranan Mahkamah Syariah dalam negara ini. Jadi saudara-saudara, isunya apa? Isunya ialah bidang kuasa Negeri dan bidang kuasa Persekutuan. Isu yang dimainkan oleh pembangkang ialah kita menentang syariah,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam isu pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.

“Didakwa ini semua peranan PM dan Menteri Kabinet. Kabinet tidak pernah membincangkan, saya hanya melaporkan minggu lepas setelah keputusan dibuat,” katanya. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related