◉ HEADLINES

Isu HRD Corp: SPRM fokus siasat berkait pelaburan, pengurusan dana, pembelian harta

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan memanggil pihak berkaitan untuk dirakam keterangan berkait isu tersebut, minggu depan

5:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti beberapa perkara yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terlibat berkait isu membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya. – Gambar Bernama, 6 Julai, 2024

Untuk itu katanya, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

“Kita telah terima laporan audit yang dikemukakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). Berasaskan laporan audit tersebut, kita telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat.

“Selasa ini pasukan penyiasat akan pergi ke Kesuma dan HRD Corp bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan. Beberapa individu telah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta ASPRM 2009.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan memanggil pihak berkaitan untuk dirakam keterangan berkait isu tersebut, minggu depan.

Katanya, ia susulan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim. – Gambar Bernama, 6 Julai, 2024

Menurut beliau, ketika ini pihaknya masih meneliti beberapa dokumen yang diperoleh dan diserahkan Kesuma.

Beliau menambah, rakaman percakapan akan dibuat dengan memanggil pihak-pihak berkaitan.

Kelmarin Scoop melaporkan Kesuma akur dengan syor dikemukakan LKAN agar merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam audit.

Menterinya, Steven Sim berkata, sejajar syor itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan kepada SPRM berhubung penemuan dalam LKAN dan PAC membabitkan syarikat terbabit.

PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan itu, LKAN mengesyorkan Kesuma mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk ia kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

LKAN juga menggesa HRD Corp supaya mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat agar selaras dengan peruntukan di bawah Akta PSMB 2001. – 6 Julai, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related