KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditahan polis semalam kerana disyaki memiliki dadah, merupakan pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki akan mencadangkan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya TPR terbabit direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan dijalankan.
Menurutnya, TPR berkenaan baru sahaja melaporkan diri di suruhanjaya itu sebagai pegawai pinjaman dari Jabatan Peguam Negara (AGC) dan insiden berkenaan adalah di luar jangka dan sudah disiasat polis.
“Saya sendiri akan berbincang dan mencadangkan kepada Peguam Negara supaya pegawai ini direhatkan terlebih dahulu untuk tidak menjalankan apa-apa jua pendakwaan kes di mahkamah dan dia pun baru sahaja melaporkan diri kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Integrity and Leadership Day di Universiti Multimedia hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pendakwa Raya terbabit ditahan reman selama tiga hari sehingga esok kerana disyaki memiliki dadah dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut SPRM, pegawai itu ditahan oleh polis di rumahnya pada 23 September lalu dan pemeriksaan yang dijalankan polis turut menemui bahan terlarang disyaki dadah.
Azam menambah, process tapisan kesihatan termasuk ujian saringan dadah dibuat terhadap pegawai terbabit dan ia tertakluk kepada prosedur AGC memandangkan individu berkenaan berkhidmat di bawah jabatan tersebut.
“Sudah tentu (ada) tapisan termasuk ujian saringan dadah dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR itu. Ini satu perkara yang pada saya, adalah tindakan beliau sendiri yang mengambil dadah dan sebagainya, sekiranya ada,” kata Azam. – 24 September, 2025
