HEADLINES

Penggiat e-hailing tuntut tambahan 1,000 liter Budi95

Enam persatuan gesa had kelayakan benar-benar penuhi keperluan semasa, mahu skim turut diperluas kepada sektor p-hailing

3:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan pemandu dan penghantar e-hailing hari ini menyuarakan harapan agar kerajaan menetapkan had kelayakan tambahan Budi 95 yang benar-benar sesuai dengan keperluan semasa.

Mereka menekankan bahawa penggiat sepenuh masa memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 liter tambahan.

Dalam kenyataan bersama, enam persatuan terbabit adalah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Mereka menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pertemuan beliau dengan pihak Grab semalam, yang turut menyentuh isu had kelayakan tambahan Budi95.

Mereka berkata pengumuman itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada ahli yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai jumlah tambahan liter RON95 bagi penggiat industri selepas pengumuman awal Kementerian Kewangan pada 1 Oktober lalu.

“Pengiktirafan Perdana Menteri terhadap peranan penggiat e-hailing dalam sistem pengangkutan awam memberi lonjakan semangat kepada kami.

“Namun, kami berharap ia dapat diterjemahkan melalui pemberian had kelayakan yang benar-benar memenuhi keperluan.

“Buat masa ini, sekurang-kurangnya 1,000 liter tambahan amat diperlukan khususnya di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu turut menyuarakan harapan agar inisiatif Budi95 turut diperluaskan kepada sektor p-hailing memandangkan terdapat penghantar yang menggunakan kereta, pacuan empat roda dan van bagi tujuan penghantaran selain motosikal.

Mereka juga menghargai usaha Grab mengemukakan isu ini dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, dengan menyifatkan langkah tersebut sebagai penting agar suara industri didengari dan gambaran sebenar keperluan lapangan dapat difahami.

“Insiaitif Grab ini dapat memberi gambaran jelas realiti lapangan bagi mengelakkan potensi kenaikan kos tambahan yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna, sekaligus menjejaskan akses rakyat kepada pengangkutan mampu milik,” tambah mereka.

Semalam, Perdana Menteri menekankan sumbangan syarikat multinasional seperti Grab Holdings Inc dalam mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata kerajaan mengalu-alukan komitmen tersebut bagi memastikan kebajikan pemandu serta penghantar Grab terus terjamin.

Pertemuan itu turut disertai pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Grab, Anthony Tan, pengarah urusan Grab Malaysia Adelene Foo, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Antara perkara yang dibincangkan ialah pelaksanaan subsidi petrol bersasar Budi95, yang menurut Anwar memberi manfaat langsung kepada pemandu e-hailing dengan mengurangkan kos operasi harian, meringankan beban kewangan, serta memperkukuh kedudukan sektor itu sebagai sebahagian penting sistem pengangkutan awam negara. — 3 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related