KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata bermula 2026, individu berusia 16 tahun dan ke bawah dilarang mempunyai akaun media sosial sendiri.
Beliau berkata larangan berkenaan bertujuan mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.
“Ini keputusan Kabinet (larangan kanak-kanak bawah 16 tahun buka media sosial). Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Syber Komuniti India Lembah Pantai, di sini hari ini.
Selain berpandukan Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan Australia dan negara lain terutama dari segi mekanisme penguatkuasaan.
“Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan yang berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial,” katanya.
Jelas Fahmi, antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC yang melibatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya memainkan peranan dengan tidak menggalakkan anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menggunakan media sosial.
“Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan. Saya percaya bahawa jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga” tambahnya.
Fahmi turut berharap agar pihak pengendali platform media sosial akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak di bawah usia 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial. – 23 November, 2025
