KUALA LUMPUR – Kehilangan besar sokongan pengundi tegar kaum Cina kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menjadi isyarat penting kepada gabungan politik itu menilai semula strategi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, prestasi semasa gabungan itu, khususnya melibatkan perubahan pola sokongan pengundi Cina menuntut analisis yang menyeluruh bagi memahami puncanya.
Sambil menyatakan PH tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina, Mustapha memberitahu, ia merupakan wake-up call kepada Pakatan Harapan, khususnya Parti Keadilan Rakyat.
“Kami pun sebenarnya tidak menjangka yang kita kehilangan (sokongan yang) substantial, agak besar pengundi-pengundi tegar kita dalam kalangan pengundi Cina.
“Jadi, selepas ini kami kena buat pascanilai apa sebenarnya yang berlaku dan bagi saya, ini adalah wake-up call kepada Pakatan Harapan, khususnya Parti Keadilan Rakyat, untuk kita menilai semula strategi kita,” katanya, lapor Bernama.
Pada PRN ini, DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi daripada semua lapan kawasan yang ditandinginya, PKR pula hanya menang satu daripada 13 kerusi yang ditandingi manakala Amanah gagal memenangi satu-satunya kerusi iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.
Mustapha berkata pengajaran yang diterima melalui keputusan kali ini memberi ruang kepada PH untuk memperkemas pendekatan dan strategi lebih awal sebelum menghadapi PRU16.
“Untuk persediaan PRU ke-16, saya fikir ini bagus juga kita dapat kesan lebih awal masalah-masalah ini supaya kita boleh merangka strategi untuk kita memenangi semula pengundi-pengundi tegar kita untuk kembali menyokong Pakatan Harapan,” katanya.
Mustapha turut mengesahkan kehadirannya di kediaman Ketua Menteri semalam adalah selari dengan pendirian rasmi PKR seperti yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung parti berhubung pembentukan Kerajaan Negeri Sabah.
“Kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang bakal dibentuk tidak lama lagi dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai bakal Ketua Menteri kita, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengambil tanggungjawab di atas kegagalan DAP Sabah meraih sebarang kerusi daripada lapan kerusi yang ditandingi parti itu.
“Pucuk pimpinan parti akan mengambil iktibar daripada keputusan ini dan menilai semula segala kelemahan kami serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.
“DAP juga mengucapkan tahniah kepada parti dan calon yang telah diberi mandat oleh pengundi di kawasan-kawasan tersebut,’’ katanya.
Lapan kerusi yang ditandingi DAP Sabah termasuk enam DUN yang disandang parti berkenaan iaitu Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura serta Sri Tanjong manakala dua lagi adalah dua kerusi baharu iaitu Tanjung Aru dan Kemabong.
Loke berkata DAP Sabah masih mempunyai dua wakil di peringkat Parlimen yang akan melipatgandakan usaha serta gerak kerja mereka di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan. – 30 November, 2025

