KUALA LUMPUR – DAP Melaka sebentar tadi mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dibawah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan Perlembagaan yang membenarkan pelantikan sehingga tujuh Adun lantikan.
Ketua DAP negeri, Khoo Poay Tiong berkata dua exco, dua timbalan exco dan timbalan speaker daripada parti itu akan meletakkan jawatan dalam pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan pindaan itu bercanggah dengan prinsip asas demokrasi.
“Wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukannya dilantik.
Kami tidak menafikan keperluan mendapatkan khidmat golongan profesional dan pakar. Tetapi mereka tidak seharusnya dilantik sebagai Adun yang mempunyai kuasa untuk bersidang dan mengundi dalam DUN,” katanya.
Keputusan itu diambil selepas Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan pada persidangan DUN hari ini.
Pengumuman dibuat Khoo pada sidang media khas yang turut dihadiri empat Adun DAP — Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Empat Adun yang akan berundur ialah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah, Timbalan Speaker DUN Kerk Chee Yee, serta dua timbalan exco iaitu Low Chee Leong dan Leng Chau Yen.
Menafikan langkah itu dibuat berikutan prestasi buruk Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, beliau menegaskan akan tetap keluar tanpa mengira bilakah rang undang-undang itu dibentangkan.
“Keputusan ini langsung tiada kaitan dengan PRN Johor,” tegasnya.
DAP menyertai kerajaan negeri Melaka pimpinan BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.
Langkah keluar DAP Melaka menggoncang kedudukan kerajaan BN di negeri itu sekali gus membuka perdebatan nasional tentang kesahihan dan kesesuaian Adun lantikan dalam sistem demokrasi. – 14 Julai, 2026
