HEADLINES

Esok cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan: MB

Cuti umum itu sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam

2:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Ismail Lasim, yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, mengumumkan esok sebagai cuti umum peristiwa bagi Negeri Sembilan.

Ismail yang sebelum ini mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah mengambil bahagian dan bertungkus-lumus sepanjang kempen pilihan raya negeri baru-baru ini,” katanya kepada media di Seri Menanti Resort, Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu, Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, pada 11.29 pagi.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam.

Dalam pada itu, Ismail berkata pelantikan exco akan mengambil kira komposisi semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dengan kemungkinan seramai 10 orang.

“Senarai Exco akan diselesaikan pada minggu hadapan,’’ katanya.

Sementara itu, dalam ucapan taat setia pada istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu, Ismail berikrar menjunjung amanah dan kepercayaan rakyat dengan melaksanakan tanggungjawab pentadbiran secara adil, telus dan berkesan demi kesejahteraan serta kemajuan negeri.

Beliau berkata mandat yang diberikan rakyat menerusi PRN Negeri Sembilan ke-16 semalam, merupakan amanah besar yang diterima dengan penuh rendah diri dan kesyukuran.

“Kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan sebaliknya tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan.

“Patik memberi jaminan bahawa amanah serta kepercayaan diberikan akan sentiasa dipelihara dan dijunjung sebaik mungkin. Patik bersama seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri,” katanya.

Ismail turut berikrar akan menjunjung kedaulatan Yang Dipertuan Besar, memelihara kemuliaan institusi diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri, selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya. – 2 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related