◉ HEADLINES

PRN Melaka ditetapkan 14 November, penamaan calon 31 Oktober

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 10 November dengan tempoh berkempen ialah selama 14 hari

1:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ditetapkan pada 14 November ini manakala penamaan calon pada 31 Oktober.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh pengundian awal ditetapkan pada 10 November dengan tempoh berkempen ialah selama 14 hari.

Beliau memberitahu, peruntukan bagi melaksanakan PRN Melaka dianggarkan RM28.45 juta.

“Tempoh berkempen ialah selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon dan berakhir pada 11.59 malam pada 13 November,’’ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Melaka di Melaka, hari ini.

Ramlan turut memberitahu, sebanyak 687,697 pemilih yang terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 tentera dan pasangan serta 2,762 polis layak mengundi pada PRN itu. 

“Bagi urusan undi pos, permohonan kategori dalam dan luar negara untuk PRN Melaka telah dibuka sejak 23 Sept lepas dan tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A, iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan media ditetapkan pada 28 Oktober.

“Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula adalah pada 23 Okt,” katanya.

Tambahnya, seramai 28 Pegawai Pengurus
Pilihan Raya telah dilantik dan dibantu oleh 80 Penolong Pegawai Pengurus. 

Beliau berkata bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan dalam pilihan raya pada kali ini, manakala 11,175 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.

“Sejumlah 271 Pusat Mengundi dengan 1,263 saluran dibuka melibatkan 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 50 tempat saluran awal dan 240 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,213 saluran,” katanya.

Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat penjalanan proses PRN Melaka bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR.

“Maklumat lanjut dan borang permohonan berkaitan pemerhati pilihan raya boleh diperoleh melalui Portal SPR www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 21 Oktober. – 7 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Parcel Shield anti-fraud initiative launched against parcel scams

Led by the Postal Forum, a self-regulatory body under the Malaysian Communications and Multimedia Commission, it aims to deal with scams involving deliveries and impersonation of legitimate couriers, among others

AG’s Chambers says no interference in Shuhaily’s return to police force

As an officer on secondment from PDRM, his removal from the Border Control and Protection Agency back to the police force is an administrative matter under the Home Ministry

◉ Related