KUALA LUMPUR – Petroliam National Bhd (Petronas) menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM), melancarkan Pusingan Bidaan Malaysia 2026 (MBR 2026) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan premium.
Bertemakan “Advantaged Energy: Accelerating and Shaping Tomorrow,” MBR kali ini turut memperkenalkan sembilan blok penerokaan atau cari gali di serata Malaysia, demikian menurut kenyataan syarikat minyak dan gas nasional itu hari ini.
Portfolio itu menawarkan campuran peluang yang seimbang, menampilkan blok cari gali berimpak tinggi di lembangan Sandakan, blok berpotensi tinggi di lembangan Sarawak Barat (West Sarawak Basin) serta blok eksplorasi dengan idea baharu berhampiran medan sedia ada di Lembangan Melayu yang matang.
“Selain itu, pusingan bidaan berkenaan turut merangkumi enam Peluang Sumber Ditemui (DRO) yang menawarkan laluan ‘sedia dibangunkan’ bagi tujuan pengewangan,” kata syarikat itu.
Menurut Petronas, para pelabur dan penyedia penyelesaian juga mendapat peluang untuk memanfaatkan maklumat teknikal secara meluas, sekali gus membolehkan platform pembangunan sumber serta pilihan pembangunan berfasa bagi tujuan pengewangan awal serta penciptaan nilai dalam masa terdekat.
MBR 2026 memaparkan momentum industri yang kukuh serta pengaktifan ekosistem dengan kerjasama strategik dan pencapaian pembangunan yang diumumkan seiring dengan tawaran pusingan bidaan berkenaan.
Naib Presiden Kanan MPM Datuk Ir Bacho Pilong berkata permintaan tenaga Malaysia akan terus berkembang dan industri huluan perlu menampung permintaan untuk ekonomi digital yang pesat berkembang serta nadi pembuatan.
“Limpahan manfaat ekonomi itu turut berleluasa kepada industri hiliran selain memberi sumbangan penting kepada kebanyakan yang lain.
“Bagi menjana enjin huluan Malaysia dengan aliran peluang yang kukuh, kami memerlukan pelaburan huluan kira-kira RM50 bilion-RM60 bilion setahun,” katanya. – 11 Februari, 2026
