Yayasan Nurjiwa tetap teruskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza 9 Mac ini

Walau bagaimanapun mereka tetap menghormati, hargai teguran Mufti Pulau Pinang

7:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yayasan Nurjiwa dinaungi Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa tidak akan menunda penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung 9 Mac ini biarpun mendapat gesaan dan teguran daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Yayasan Nurjiwa, Khalid memberitahu bahawa mereka menghormati dan menghargai teguran tersebut, walau bagaimanapun pihak mereka tidak dapat menangguhkan konsert tersebut di atas beberapa faktor antaranya ketiadaan tarikh bersesuaian.

“Pertama sekali, Yayasan Nurjiwa secara khususnya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran mufti. Keprihatinan serta pandangan Datuk Seri amat-amat kami hormati dan hargai. Terima kasih Datuk Seri.

“Pada 8 Januari lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan secara rasmi penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

“Pada sidang media itu juga, sudah dimaklumkan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional. Kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac menghampiri 1 Ramadan.

“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.

“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal 2023 lagi. Namun, tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu,” katanya dalam kenyataan itu.

Namun katanya, memahami matlamat dan objektif utama pengajuran konsert itu membuatkan penganjur mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya.

“Izinkan kami sekali lagi menjelaskan konsert itu bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak 2006.

“Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan iaitu kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

“Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan itu, ia memerlukan dana yang mencukupi. Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan konsert ini akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan,” katanya.

Justeru katanya, matlamat penganjuran konsert itu sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekalig us amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk di Palestin.

Katanya, bertitik tolak daripada matlamat itu juga, Yayasan Nurjiwa terfikir ada baiknya pementasan konsert terbabit diteruskan.

Tambahnya, penundaan konsert itu akan memberikan implikasi yang besar kepada banyak pihak, khususnya di pihak produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.

“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

“Kita tak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin. Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu.

“Terlewat sehari dua sahaja, boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana.

“Dengan kenyataan ini, kami di Yayasan Nurjiwa berharap menjawab segala persoalan dan kegusaran semua pihak. Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa tidak pernah putus memberikan sokongan kepada segala kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan yang kami usahakan. Semoga Allah SWT merahmati kebaikan anda semua. Terima kasih,” katanya.

Baru-baru ini, Wan Salim mencadangkan supaya Siti Nurhaliza menunda penganjuran konsert itu ke tarikh lain apatah lagi umat Islam dijangka berpuasa pada 12 Mac ini.

Ketika membuat teguran berkenaan, beliau berkata, pada bulan suci itu amat digalakkan supaya umat Islam mengambil peluang untuk menggandakan amal ibadat dan kebajikan. – 18 Januari, 2024

Topics

Popular

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related