◉ HEADLINES

Format baharu isytihar harta Ahli Parlimen sudah dimuktamadkan

Cadangan itu telah dibentang dan dipersetujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional siri dua, 8 Januari lalu

8:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Format baharu pengisytiharan aset anggota pentadbiran kerajaan serta Ahli Parlimen sudah dimuktamad dan akan dibawa untuk penelitian lanjut Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, cadangan format baharu itu telah dibentang dan dipersetujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional siri dua yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Januari lalu.

Beliau berkata, format itu adalah penambahbaikan daripada konsep pengisytiharan aset oleh Ahli Parlimen yang pernah dilakukan pada 2018.

“Berbanding 2018, kita hanya isytihar apa harta kita ada dan nilainya, kali ini lebih tepat dan telus termasuk sekiranya ada aset, ia perlu diisytihar lengkap dengan harga asal dan waktu aset itu diperoleh.

“Seterusnya kena maklum nilai semasa aset berkenaan kemudian kita juga akan lakukan perbandingan harga asal dan nilai semasa sesuatu aset,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai Pelan Implementasi Reformasi Institusi pada sesi kamar khas Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Kulasegaran berkata, kerajaan sudah memulakan kajian berdasarkan keterangan membabitkan tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom bagi mendapatkan kaedah amalan terbaik berhubung perkara itu.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengadakan perbincangan awal dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada serta Setiausaha Rendah Parlimen bagi Kementerian Kehakiman United Kingdom, semalam.

“Pertemuan yang diadakan ketika Datuk Seri Azalina menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel 2024 di Zanzibar, Tanzania semalam adalah sebahagian daripada permulaan Kajian Empirikal Berkaitan Cadangan Pengasingan Kuasa yang disokong oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kulasegaran berkata, pada masa sama, kerajaan juga melakukan kajian menyeluruh mengenai cadangan untuk menetapkan had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

“Ini termasuk giat melakukan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kajian perbandingan pelaksanaan tempoh perkhidmatan Menteri, Perdana Menteri dan Presiden negara luar yang mengamalkan sistem monarki dan raja berperlembagaan termasuk republik,” katanya. – 6 Mac, 2024

Topics

 

◉ Hangat

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

MCMC condemns viral Quran desecration video, vows legal action as investigation continues

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has stepped up efforts to identify an individual seen disrespecting the Al‑Quran in viral social media clips, warning the public against spreading incendiary content that could threaten national harmony

Sedia pinda undang-undang kekang jenayah babit pesakit mental: Dzulkefly

Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan 'tiket sedemikian' untuk melakukan jenayah, namun sebarang pindaan perlu diperhalusi

◉ Related