HEADLINES

[TONTON] Politik gabungan sukar penuhi jangkaan bukan Melayu: Kulasegaran

Timbalan Menteri mengakui cabaran untuk menyeimbang reformasi sosio-ekonomi dengan jangkaan tinggi rakyat

3:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mengurus jangkaan masyarakat bukan Melayu kini menjadi cabaran paling halus buat kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, tatkala garis masa reformasi bertembung dengan tuntutan sosio-ekonomi yang telah lama berakar, kata Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M. Kulasegaran.

Dalam podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media bersama Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin dan Ketua Pengarang Kumpulan Terence Fernandez, Kulasegaran menegaskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina dan India lebih banyak berpunca daripada kelewatan pelaksanaan dasar berbanding ketiadaan komitmen politik.

Beliau berkata jangkaan rakyat melonjak tinggi selepas pembentukan kerajaan perpaduan, sekali gus menekan parti komponen untuk segera menunaikan isu yang terkumpul sejak puluhan tahun.

Bagi masyarakat India, katanya, wujud keyakinan bahawa Unit Transformasi Komuniti India Malaysia (MITRA) perlu tampil lebih tegas, khususnya dalam memperkasa sekolah Tamil dan menangani isu akar umbi yang melangkaui aspek infrastruktur semata-mata.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M. Kulasegaran ketika menjadi tetamu undangan dalam podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media bersama Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin dan Ketua Pengarang Kumpulan Terence Fernandez. – Gambar Scoop, 4 Januari, 2026

Walaupun kerajaan telah menyalurkan bantuan seperti papan pintar dan sokongan pendidikan, Kulasegaran mengakui realiti politik di lapangan sering mempengaruhi persepsi masyarakat.

“Kadang-kadang apa yang dibuat tidak diterjemah kepada apa yang dirasai rakyat,” ujarnya, sambil menekankan politik komuniti dan naratif setempat kerap membentuk penerimaan terhadap inisiatif kerajaan.

Beliau turut menyentuh persepsi berterusan terhadap DAP yang masih berdepan serangan berasaskan identiti walaupun parti itu bersifat majmuk dengan wakil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, naratif sebegitu menyukarkan usaha membina kepercayaan rentas komuniti, lebih-lebih lagi dalam kerangka gabungan yang menuntut kompromi serta kemajuan dasar secara berperingkat.

Kulasegaran menegaskan pentadbiran gabungan memerlukan keseimbangan antara cita-cita reformasi dengan kestabilan politik — proses yang boleh mengecewakan pengundi yang mahukan perubahan pantas.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan representasi dalam kerajaan untuk membina keyakinan masyarakat minoriti, dengan pelantikan Kabinet baru-baru ini dilihat sebagai langkah memperkukuh keterlibatan terhadap isu komuniti.

“Kritikan daripada pengundi bukan Melayu memang wujud dan tidak boleh dipandang ringan, tetapi ia mesti dilihat dalam konteks politik gabungan dan reformasi struktur,” katanya.
“Mentadbir bukan sekadar niat, ia juga tentang mengurus jangkaan.” – 4 Januari, 2026

Topics

 

Popular

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

Port Klang breaks into world’s top 10 busiest ports with 4.1% growth

Malaysia’s largest port overtakes Hong Kong as container volumes climb to 14.64 million TEUs in 2024

Malaysia sees 11.1% increase in crime rate, with property offences and assaults leading the rise

The latest report reveals a spike in property crimes and assaults, while homicides and kidnapping cases show signs of improvement

Related