KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA + SD), yang mewakili 74 persatuan penduduk memandang serius keputusan kerajaan menerima pakai hasil kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190), yang menolak pelaksanaan sistem ahli majlis di Kuala Lumpur.
Dalam kenyataannya, KLRA + SD berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang hanya melibatkan Ahli-ahli Parlimen dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tanpa melibatkan penduduk serta persatuan penduduk.
Katanya, apa yang membimbangkan Jemaah Menteri menerima syor kajian tersebut sebelum laporan penuh didedahkan untuk penelitian awam sedangkan penambahbaikan pentadbiran tidak boleh dilakukan tanpa melibatkan penduduk.
“Menurut kenyataan Menteri, penyelidik telah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur dan DBKL sebagai ‘pihak berkepentingan utama’, namun penduduk yang menanggung kesan daripada setiap keputusan DBKL, langsung tidak dilibatkan.
“Ini menghantar mesej yang salah dan penduduk bukan sekadar penerima perkhidmatan awam, tetapi merupakan pihak berkepentingan yang sah dalam menentukan bagaimana bandar raya mereka ditadbir.
“Pembaharuan tadbir urus yang bermula tanpa penyertaan penduduk hanya akan mengulangi defisit akauntabiliti yang kononnya ingin diperbaiki.
“Jika kerajaan benar-benar yakin pendiriannya mencerminkan kehendak rakyat, maka Kerajaan tidak seharusnya teragak-agak untuk menyerahkan persoalan ini kepada rakyat melalui satu pungutan suara yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum akan datang,’’ katanya.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, mencadangkan sistem Ahli Majlis tidak diperkenalkan dalam struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada masa ini.
Beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membentangkan kajian itu kepada Jemaah menteri dan diarah memfokus kepada usaha memperkukuh tadbir urus tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang dalam DBKL secara berperingkat sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Akta 190.
Mengulas lanjut, KLRA + SD berkata, kajian yang dibiayai dengan wang awam untuk membentuk dasar awam sepatutnya tertakluk kepada penelitian dan orang ramai berhak meneliti bukti, metodologi serta mengemukakan syor yang menjadi asas kepada keputusan Jemaah Menteri.
“KLRA+SD terus menyokong cadangan pindaan Akta 190 seperti diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU_ Persendirian oleh tujuh Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis sebagai langkah pertama ke arah pendemokrasian ibu negara.
“Sistem Ahli Majlis bukan sesuatu yang baharu atau bersifat eksperimen sebaiknya diamalkan di seluruh negara sejak sekian lama sebagai mekanisme semak dan imbang. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mengesyorkan pelaksanaannya bagi memperkukuh pengawasan dan akauntabiliti dalam DBKL,’’ katanya.
KLRA+SD katanya, mengalu-alukan pelbagai penambahbaikan tadbir urus yang diperkenalkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan namun reformasi yang bermakna tidak boleh bergantung kepada komitmen mana-mana individu.
“KLRA+SD kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan, Ahli-ahli Parlimen dan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh tadbir urus Kuala Lumpur dan akan terus memperjuangkan hak penduduk bagi mendapatkan semula undi kedua sebagai satu hak demokrasi,’’ katanya. – 8 Julai, 2026
