HEADLINES

Malaysia catat skor 75 bagi Indeks Robust Data Governance GSMA

Teo Nie Ching berkata laporan yang dibentangkan hari ini mengenal pasti bidang utama yang perlu dipertingkatkan, bermula dengan infrastruktur digital

5:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan skor 75 bagi Indeks Robust Data Governance di bawah GSMA Digital Nation Index, mencerminkan rangka kerja peraturan yang kukuh serta komitmen kerajaan dalam melindungi data, menjaga privasi dan membina keyakinan awam.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, skor itu juga menonjolkan usaha berterusan Malaysia mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan diyakini.

“Berdasarkan pencapaian ini, kita meneliti GSMA Digital Nations Asean Report 2025. Laporan yang dibentangkan hari ini mengenal pasti bidang utama yang perlu dipertingkatkan, bermula dengan infrastruktur digital.

“Pengendali rangkaian mudah alih negara telah membina asas kukuh untuk inovasi, dan adalah penting untuk kita meneruskan momentum ini,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Asean Edition) 2025 di sini hari ini.

Digital Nation Summit Kuala Lumpur (Asean Edition) 2025 berlangsung hari ini dan esok dengan tema Forging Asean’s Digital Future: Technology for Trust and Transformation, yang menekankan peranan Malaysia dalam perjalanan digital bersama Asean.

Perbincangan dua hari itu memberi tumpuan kepada aspek kepercayaan, Al, inovasi industri dan keselamatan siber yang membentuk masa depan digital rantau ini.

Dalam pada itu, Teo turut menegaskan laporan itu mengiktiraf kekuatan Malaysia dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri.

“Rakyat kita adalah aset terbesar, dan dalam ekonomi digital yang pantas berubah hari ini, mereka memahami bahawa pembelajaran tidak pernah terhenti,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kepercayaan merupakan asas utama sesebuah negara digital, dan bagi Asean, membina kepercayaan digital bermaksud memastikan perlindungan privasi data, memperkukuh keselamatan siber, melindungi daripada ancaman baharu serta mewujudkan persekitaran di mana perniagaan dan penduduk berasa yakin untuk turut serta.

“Di Asean, ekonomi digital kini dianggarkan bernilai sekitar USD300 bilion dan dijangka melepasi USD$1 trilion menjelang 2030.

“ASEAN perlu memanfaatkan kuasa transformatif teknologi digital seperti kecerdasan buatan (Al), internet benda (loT), data raya, rantaian blok (blockchain) dan pengkomputeran awan (cloud computing) untuk membangunkan komuniti digital yang inovatif dan inklusif,” katanya.

Menorot peningkatan ancaman siber di rantau ini, Teo berkata ia didorong oleh peningkatan keterhubungan, kepesatan teknologi serta kepentingan geopolitik Asean yang semakin meningkat.

“Keselamatan siber yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan badan antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada strategi serantau serta mekanisme perkongsian maklumat.

“Pengukuhan dan pengemaskinian rangka kerja perundangan amat penting untuk membanteras jenayah siber serta menangani ancaman yang sentiasa berubah,” katanya.

Mengulas mengenai persidangan itu, Teo berkata ia seiring dengan visi Asean 2045 yang berhasrat membina komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat melalui transformasi digital serta integrasi serantau.

“Saya percaya persidangan ini menandakan permulaan perbincangan tentang masa depan digital rantau ini, dipacu oleh teknologi baharu untuk mempertingkatkan keterhubungan, merangsang inovasi dan memperkukuh sistem teknikal.

“Biarlah persidangan ini membuka lembaran baharu dalam membina negara digital, di mana Asean mendahului dengan kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju bersama,” katanya. – 23 September, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related